Lebih 100 orang mahasiswa menyertai program Kewartawanan Menjana Intelektual yang dianjurkan oleh Kelab Media FSS (KOMDI) yang turut dihadiri dekan fakulti tersebut, Dr. Wan Norhayati Wan Othman.

Pada program tersebut, Lensa Rencam diketuai oleh Penolong Editor Foto, Azhar Mogo yang dibantu oleh Abd Rahman Saleh dan Mohd Naim Aziz mengupas pelbagai persoalan berhubung perkembangan fotografi kewartawanan dalam industri media penerbitan, elektronik dan sosial.

Perkongsian ini dapat membantu para mahasiswa mencari arah tuju apabila mereka ingin memulakan karier pada masa depan.

Pelbagai teknik fotografi kewartawanan merangkumi liputan hal ehwal semasa seperti politik, rencana, jenayah dan sukan diutarakan dalam program yang diadakan kali pertama di negeri Hang Tuah tersebut.

Selain membincangkan teknologi peralatan kamera terkini, turut dibentangkan perkongsian pengalaman jurufoto dari Kumpulan Utusan Melayu (M) Berhad yang pernah membuat liputan peperangan di beberapa negara bergolak seperti Somalia, Darfur di Sudan, Timor Leste dan bencana alam di Acheh, Indonesia.

Selain itu mahasiswa juga didedahkan dengan cara penghantaran gambar dan berita ketika membuat liputan di negara tersebut. Soal ketepatan masa dan kesungguhan dalam berkarya dititik beratkan dalam program Kewartawanan Menjana Intelektual.

“Perkongsian ilmu bersama pengamal media dalam industri amat penting bagi mahasiswa sebagai penambahan ilmu di samping pengalaman yang pernah dilalui mereka (pengamal media). Ini bukan sahaja ilmu yang amat berguna malah menjadi daya pendorong kepada mahasiswa untuk lebih berjaya pada masa akan datang,’’ tegas Dr. Wan Norhayati dalam ucapan penutup program.

Tambahnya lagi, program seperti ini boleh membuka minda mahasiswa untuk menghasilkan karya yang kreatif dan meningkatkan komunikasi sejajar dengan pembelajaran yang mereka ikuti sekarang.

Sempena program tersebut satu pameran fotografi hasil karya jurufoto Kumpulan Utusan turut diadakan di ruang legar FSS bagi tontonan mahasiswa KUIM.