Selain dapat menzahirkan idea kreatif kepada satu lagi ruang, ia juga berfungsi untuk memastikan anak-anak kecil tidak menyelerakkan ruang lain dengan mainan mereka.

Begitu juga bagi pelakon Hollywood, pengarah dan juga seorang ibu, Lucy Liu. Menyedari betapa kosongnya ruang permainan anak lelakinya, Rockwell, dia membuat keputusan melakukan pengubah-suaian ruang tersebut bagi memastikan anaknya dapat bermain dengan gembira dan dalam masa sama memenuhi cita rasanya yang mahukan rekaan penuh gaya.

Selain itu ia turut memenuhi matlamatnya menyediakan kawasan bermain yang selamat dan berfungsi, tanpa mengganggu aliran gaya apartmennya yang terletak di bandar New York itu. Tidak gemar memiliki banyak perabot, rekaan bilik permainan Rockwell itu juga mengikut tema rumahnya.

Memandangkan tingkat dua apartmen itu merupakan rekaan terbuka dengan ruang dapur, ruang tamu, dan ruang makan yang bergabung, ia memberi keutamaan untuk menjadikan bilik tersebut tidak lari dari tema keseluruhan rumahnya.

Warna monokromatik dipilih supaya hiasan dan alat permainan di ruang tersebut lebih menonjol dan membuatkan anak bintang Charlie’s Angel itu lebih tertarik untuk menghabiskan masa dengan bermain di ruang tersebut.

Sama seperti mana-mana kediaman dengan anak kecil yang berlari-lari sekelilingnya, Liu tahu tidak mungkin bilik permainan tersebut akan kelihatan bersih sepanjang masa.

Apa cara paling mudah untuk mengurus keadaan huru-hara? Tip diberikannya ialah memastikan rekaan bilik sentiasa tersusun.

Selain itu, ibu bapa juga perlu pandai mengatur, bukan sahaja mengatur masa tetapi elemen dalam sesuatu ruang. Kanak-kanak dilihat gemar meletakkan barangan mereka seperti mainan dan buku di luar dari tempatnya yang akhirnya membuatkan ia kelihatan berselerak. Sedangkan sebenarnya mereka mahu peralatan mereka mudah dilihat.

Oleh itu, cadang Liu sediakan tempat simpanan terbuka dan menyusunnya dengan cantik setiap masa supaya dicontohi mereka. Pembersihan juga lebih mudah dengan cara ini.

Membesarkan anak lelakinya di bandar New York juga memberi idea untuk Liu menzahirkan kota tersebut dalam rekaan bilik permainan anaknya itu.

Elemen pelbagai budaya diterapkan dari tekstur anyaman pada dinding dan juga hiasan dinding berupa bakul anyaman di atas pendiangan.

Liu juga mempamerkan beberapa lukisan kegemaran yang dikumpulnya pada dinding. Ia membuatkan ruang tersebut bukan sahaja berfungsi sebagai bilik permainan anaknya, tetapi satu ruang penting untuk dia berehat sambil menemani anaknya bermain.

Bagi Liu, tidak perlu berkorban dari segi seni artistik dan visual sesuatu ruang apabila memilih menyediakan bilik bermain untuk anak.

Ia boleh digabungkan dengan bijak supaya ruang berkenaan bukan sahaja menjadi ruang kegemaran untuk anak, malah bagi ibu bapa juga.