Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY

Logo Kaji Selidik Pembaca

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

Berkayak takluk Sungai Nil

SEBAHAGIAN peserta selesai menjalani latihan di Batu Caves, Selangor 4
SEBAHAGIAN peserta selesai menjalani latihan di Batu Caves, Selangor dalam cabaran kayak Sungai Nil.

Selepas kejayaan dua wanita Malaysia mengayuh basikal menakluk Gurun Sahara sejauh 1,111 kilometer (km) dan kejayaan 10 anak muda menawan Thorong La Pass di Banjaran Himalaya, Nepal, Majlis Rekreasi Malaysia (MRM) sekali lagi akan mengukir sejarah dalam dunia rekreasi tempatan.

Program terbaharu anjuran MRM adalah berkayak sejauh 200 kilometer di Sungai Nil, Mesir pada Oktober ini. Seramai tujuh anak muda akan berkayak di sungai tersebut bagi menca­tat rekod baharu dalam Malaysia Book of Records (MBOR).

Mendapat sokongan penuh daripada Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin serta Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah, kesemua peserta sudah menjalani latihan sejak 15 Julai lalu.

Pengerusi MRM, Azrul Zabani berkata, antara latihan yang dijalankan adalah mendaki Bukit Broga dengan membawa bebanan termasuk memikul kayak, naik turun tangga di Batu Caves sebanyak 20 kali sambil memikul 40 kilogram bebanan dan berenang sejauh empat kilometer di kolam renang.

Menurutnya, itu antara bentuk latihan yang dijalani peserta bagi menjayakan Ekspedisi Kayak Malaysia-Sungai Nil 2017.

Katanya, kesemua peserta pelbagai latar belakang itu dipilih daripada 72 calon bagi merealisasikan impian menakluk Sungai Nil.

“Latihan telah bermula sejak 15 Julai lalu dan akan berterusan sehingga 30 Oktober ini. Kejayaan peserta kelak bakal mencipta sejarah untuk direkodkan dalam MBOR sebagai First Nile River Kayak Expedition By A Group.

“Setakat ini, sebanyak 12 calon telah disenarai pendek dan hanya tujuh peserta terbaik akan menggalas misi nasional itu,” katanya kepada S2.

Azrul yang juga pengarah program berkata, sesi latihan yang sedang berlangsung sekarang penting sebagai perse­diaan awal dari segi mental dan fizikal sebelum mereka menghadapi cabaran sebenar di Sungai Nil.

“Melihat tahap kecerdasan mereka, banyak peningkatan ditunjukkan kesemua peserta. Saya yakin mereka boleh menghadapi cabaran selama 10 hari di Sungai Nil,” tambahnya.

Mengulas lanjut, katanya, 12 peserta yang telah disenarai pendek setakat kini ialah Rosliza Saad, Ayu Wanirah Naharuddin, Hasnida Hanim Ahmad Kamil, Wan Zulhamli Wan Abdul Rahman, Muhammad Fajrul Hazreen Zainal, Izwan Md. Sumairi, Mohd. Haniff Muhamad Zain, Shamsudduha Junaidi, Zulkifli Yusof, Ahmad Iqbal Khairi Ismail, Muhammad Aiman Abd. Hamid dan Muhamad Amirul Azaha.

Katanya, daripada jumlah itu hanya tujuh peserta akan dipilih untuk ber­kayak dalam persekitaran serta cuaca panas terik. Eks­pedisi itu akan bermula di Aswan dan berakhir di Luxor,” katanya.

Dalam pada itu, seorang peserta, Rosliza Saad berkata, selain latihan membawa beban, mereka juga menjalani latihan teknikal pe­ngendalian kayak serta berkayak sejauh 50 kilometer setiap kali berlatih dalam cuaca panas terik.

“Ini bagi membiasakan kami mengadaptasi cuaca panas dan jarak kayuhan di Sungai Nil kelak,” katanya.

Bagi seorang lagi peserta, Muhammad Fajrul Hazreen, latihan disediakan MRM sangat baik dan padu dengan intensiti yang sangat tinggi.

“Bagi saya, tiada sesi latihan yang senang. Insya-Allah, kami akan melakukan yang terbaik untuk negara tercinta.

“Kami sedia berkongsi pengalaman dan rentetan perjalanan sepanjang ekspedisi ini bersama rakan-rakan di Malaysia, ujarnya.

Artikel Berkaitan
Artikel Lain
Video Pilihan