Di bawah pelan pendwicabangan 2014, Hyderabad diserahkan kepada negeri yang baharu diwujudkan iaitu Telangana.

Keadaan itu membuatkan Andhra mempunyai tempoh 10 tahun untuk mencari tempat lain sebagai ibu negeri yang baharu.

Ketua Menteri Andhra Pradesh, Nara Chandrababu Naidu, menyifatkan apa yang berlaku pada masa itu sebagai ‘krisis’ dan seperti tidak ada penyelesaian yang mudah

Daripada memilih bandar yang sedia ada sebagai pusat pentadbiran, Andhra Pradesh memutuskan untuk membina sebuah ibu negeri yang baharu, terletak kira-kira 300 kilometer dari Hyderabad.

Untuk memberi gambaran yang lebih jelas kepada pembaca di Malaysia, ibu negeri yang baru itu, Amaravati bak Putrajaya bagi negeri selatan India ini.

Sememangnya, pegawai-pegawai Andhra ada berkunjung ke Putrajaya dalam lawatan mereka ke luar negara bagi melihat sendiri pembangunan bandar di pusat pentadbiran Kerajaan Persekutuan Malaysia itu di samping lokasi lain.

Perunding pembinaan Inggeris, pakar pengurusan air Belanda dan perancang bandar Singapura adalah antara rakyat asing yang terlibat dalam projek Amaravati yang meliputi kawasan seluas 217 kilometer persegi.

Sebuah syarikat Malaysia menandatangani perjanjian untuk membina sebuah taman teknologi generasi keempat di ibu negeri baharu Andhra.

Meskipun masih di peringkat kerja infrastruktur, Andhra Pradesh begitu beriya-iya mahu mempamerkan visinya kepada dunia. Apa yang kerajaan Andhra Pradesh mahu lakukan ialah membina bandar ‘paling bahagia’ di India dan menjadikan tempat terbaik di dunia daripada segi piawaian kehidupan serta bekerja sebagai penanda aras.

Pihak berkenaan juga akan mewujudkan suruhanjaya kebahagiaan serta indeks untuk mengukur kebahagiaan.
Apa yang Naidu nampak sebagai krisis empat tahun lepas hari ini dilihat sebagai peluang keemasan.

“Bukan selalu dapat peluang untuk membangunkan sebuah bandar yang mesra segala-galanya,” kata Naidu pada perasmian Sidang Kemuncak Bandar Berbahagia anjuran kerajaannya berhampiran Amaravati.

Sekumpulan wartawan termasuk penulis sebagai pewarta Bernama di Delhi, diundang kerajaan negeri Andhra Pradesh untuk menghadiri sidang kemuncak itu serta menyaksikan sendiri kerancakan pembinaan Amaravati.

Naidu menyifatkan ibu negeri baharu itu sebagai lokasi ‘lembah inovasi’ laksana Silicon Valley di Amerika Syarikat dan menjadi model pembangunan untuk yang lainnya.

Antara perkara yang diutamakan ialah E-kerajaan, pengangkutan mesra alam, industri yang tidak mencemari alam sekitar, kemudahan pendidikan peringkat tinggi serta kemudahan kesihatan.

Amaravati tidak direka bentuk untuk kereta memandangkan 80 peratus penduduk yang disasarkan iaitu 3.5 juta menjelang 2059 akan bergantung kepada pengangkutan awam dan semua basnya akan menggunakan kuasa elektrik.

Amaravati memperoleh namanya dari sebuah banda purba yang berhampiran yang mempunyai nama yang sama di rantau Vijayawada-Guntu.
Sungai Krishna, salah sebuah sungai terpanjang di India bukan sahaja menjadi sumber bekalan air untuk bandar itu tetapi projek pembangunan hartanah akan dibina di ruang seluas 30 kilometer di sepanjang tebingnya.

Prinsip pembinaan yang didokong Andhra Pradesh Capital Region Development Authority (APCRDA), agensi yang menyelia projek Amravati, mahukan akses kepada perkhidmatan kritikal seperti polis dan hospital hanya mengambil masa lima minit berjalan kaki.

Di samping itu, orang ramai perlu hanya 10 minit untuk ke tempat kemudahan kemasyarakatan sementara untuk pergi ke tempat kerja tidak lebih daripada 15 minit.

Amaravati menjanjikan kehidupan bandar yang futuristik berbanding kebanyakan bandar India yang lain yang kini berdepan dengan kadar pencemaran serta mempunyai infrastruktur yang teruk.

Bagi mempersiapkan dengan keperluan masa hadapan, bahagian perancangan pengangkutannya mempunyai peruntukan bagi kenderaan yang menggunakan kuasa solar.

“Bandar ini akan menjadi sifar karbon dan perkara ini sudah termaktub dalam perancangan kami,” kata Sreedhar Cherukuri ,Pesuruhjaya APCRDA,

Kerja infrastruktur bernilai sekitar AS$3 billion (RM11.6 bilion) sedang rancak dilaksanakan dan kebanyakan bangunan termasuk pangsapuri untuk wakil rakyat, blok rumah kerajaan, sekolah, hospital dan hotel dijangka siap tahun depan.

Sebuah kompleks kerajaan sementara yang menempatkan dewan negeri, pejabat ketua menteri, pusat berteknologi tinggi dan beberapa kementerian sudah beroperasi.

Bangunan sekretariat tetap, dewan perundangan serta mahkamah tinggi akan dibina kemudian. Bangunan-bangunan ini akan menjadi struktur yang tersergam megah di Amaravati.

“Kos membangunkan infrastruktur dianggarkan sekitar 1 trilion rupee (RM58 bilion) dan fasa pertama memerlukan $6.5 bilion (RM25 billon),” kata Cherukuri.

Meskipun Andhra Pradesh kecewa kerana tidak mendapat pembiayaan daripada kerajaan pusat yang dijanjikan pada 2014, pihak APCRDA tidak berputus asa dan meneruskan projek itu dengan mencari cara lain untuk menjana dana yang diperlukan.

Pihak berkenaan memperhebatkan usaha untuk mendapatkan pelaburan dari dalam dan luar negeri bagi membiayai kos pembinaan yang tinggi itu.

Kejayaan pertama diraih apabila lebih daripada 27,000 keluarga petani menyerahkan tanah pertanian untuk pembinaan ibu negeri baru itu

Sebagai ganti, kumpulan petani itu dianggap sebagai ‘rakan kongsi pembangunan’ dan lebih daripada 60,000 tapak tanah telah diberikan kepada mereka.

Kerajaan negeri juga membuat keputusan mengekalkan 29 buah kampung. Kemudahan serta infrastruktur untuk penduduk kampung itu akan dimodenkan supaya mereka boleh diserapkan sebagai sebahagian daripada model ‘bandar yang berbahagia’ itu.
– BERNAMA