Bukan itu sahaja, malah ketam boleh divariasikan menjadi hidangan yang enak untuk dimakan bersama nasi, mi, pasta, sup atau diratah begitu sahaja.

Keenakan isinya yang manis, lembut dan enak menjadikan makanan laut ini sentiasa dicari walaupun mungkin harganya agak mahal.

Bagaimanapun, tidak banyak restoran halal yang menawarkan sajian makanan laut, sekali gus memberi kekangan kepada penggemar kalangan masyarakat Islam.

Prihatin kekurangan itu, Mohd. Faizal Fadzil, 34, merebut peluang membuka Ibrahim’s Fatty Crab, sebuah restoran makanan laut, pada 19 Mei tahun lalu.

Menyediakan pelbagai jenis sajian daripada makanan laut, dia seboleh-bolehnya ingin memenuhi selera dan cita rasa rakyat tempatan terutama mereka yang beragama Islam.

Cukup berpuas hati kerana dapat menyelesaikan ‘masalah’ penggemar makanan laut, anak kelahiran Alor Setar, Kedah, ini juga boleh berbangga kerana sejak beroperasi kedainya sentiasa dipenuhi pelanggan.

“Alhamdulillah sejak dibuka tahun lalu, kedai ini berterusan dikunjungi pelanggan termasuk dari Brunei dan Singapura.

“Kami menawarkan lebih 50 jenis masakan berasakan makanan laut seperti ketam, ikan, udang dan sotong, selain ayam.

“Bukan itu sahaja malah kami turut menyediakan sajian-sajian dari telur, taufu, sayur, mi, dan nasi goreng bagi mereka yang tidak makan makanan laut,” ujarnya ketika ditemui di premis perniagaannya yang terletak di No. 18, Jalan Avenue 1, Ampang, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Menyediakan hanya yang segar dan berkualiti tinggi kepada setiap pelanggan, Mohd. Faizal menjelaskan, walaupun setiap jenis makanan laut dibeli melalui pembekal tempatan tetapi kesemuanya diimport dari luar seperti Alaska.

Bercakap mengenai ketam, dia menyediakan tiga jenis iaitu ketam nipah, ketam laut dalam, dan ketam raja Alaska dengan tujuh jenis masakan panas.

Selain itu, terdapat empat jenis ikan ditawarkan iaitu siakap, ikan merah, kerapu, dan talapia dengan enam jenis masakan panas, manakala udang, sotong, serta ayam, masing-masing dengan lima jenis masakan panas.

Hanya menyediakan kesemua sajian sebaik sahaja tempahan pelanggan diterima, Mohd. Faizal menjelaskan untuk masakan ketam, tiga saiz disediakan L, XL, dan XXL yang beratnya 400 gram dan ke atas.

Sementara itu untuk sajian ketam raja Alaska, pengunjung perlu membuat tempahan sehari sebelum kerana Mohd. Faizal tidak menyimpan stok sebaliknya dibeli segar.

Antara masakan ketam yang boleh anda nikmati ketika mengunjungi restoran ini ialah gaya Mongolia, masam manis, lada hitam, krim mentega, kam heong, cili, dan telur masin.

Selain terkenal dengan pelbagai sajian ketam, Mohd. Faizal berkata, ikan stim limau juga antara menu pilihan pengunjung.

Mempertaruh resipinya sendiri, masakan tersebut merupakan hasil campuran pelbagai jenis rempah ratus, limau dan lemon.

Dihidangkan panas-panas bersama nasi putih, ditambah pula rasanya yang masam-masam manis menjadikan selera pasti ‘terangkat’.

Antara masakan lain yang boleh dinikmati di sini ialah udang kara krim mentega, udang oat, sotong asam, ayam Mongolia, ayam sos lemon, ayam kong bo, telur goreng udang, taufu sizzling, sayur goreng bawang putih, mi wat tan hor, nasi goreng kari, dan nasi goreng sos scallop.

Boleh memuatkan sehingga 150 pengunjung pada satu-satu masa, restoran ini dibuka dari hari Selasa hingga Ahad bermula 5 petang hingga 12 tengah malam manakala Sabtu dan Ahad bermula 3 petang hingga 11 malam. - Gambar GAIE UCHEL