Pertandingan yang diper­kenalkan pada 2014 itu kini diiktiraf World Strong Man (WSF) dan kini menjadi salah satu siri dalam pertandingan dalam WSF.

Setiausaha pertandingan, Zamal Hafiz Zarzelah berkata, penyertaan rasmi Badang Challenge dalam WSF dimeterai menerusi perjanjian bersama wakil WSF sebelum kejohanan bermula baru-baru ini.

Katanya, Badang Challenge akan mula menjadi salah satu siri dalam WSF mulai tahun depan.

“Wakil daripada WSF yang menyaksikan Badang Challenge kagum dan terkejut kerana tidak menyangka di Malaysia terdapat pertandingan seumpama ini.

“Mereka juga kagum ke­rana penganjur mengadakan pertandingan berasaskan kepada budaya tempatan malah menyifatkan Badang Challenge cabaran paling sukar kerana berlangsung di dalam sawah padi,” katanya.

Mengenai pertandingan kali ini, Zamal Hafiz berkata, ia disertai 50 peserta dengan 18 peserta dari Brunei.

Menurutnya, pertandingan kategori lelaki dibahagikan ke­pada dua iaitu untuk berat badan lebih 80 kilogram (kg) dan bawah 80kg.

Katanya, pertandingan kali ini memperkenalkan kategori wanita yang disertai enam peserta.

“Untuk kategori lelaki, pemenang bergelar Badang manakala untuk peserta perempuan yang menang pula meraih gelaran Walinongsari.

“Nama Walinong sari ini mengambil sempena kisah seorang puteri bernama Puteri Wanang Seri di Pahang yang sangat perwira, pandai bersilat dan bermain senjata,” katanya.

Untuk muncul sebagai Badang dan Walinongsari, peserta perlu melakukan beberapa ujian fizikal ke tahap maksimum.

Antara cabaran ialah berlari sejauh dua kilometer disusuli mengandar dua tong plastik berisi pasir seberat 50kg, memikul balak, menterbalikkan tayar traktor seberat 250kg.

Selain itu, peserta juga berdepan cabaran yang lebih ekstrem iaitu menarik traktor seberat tiga tan dan menarik sampan.

Untuk saingan kategori berat badan lebih 81kg, Mohammad Firdaus Jamen dari Perlis muncul juara diikuti peserta Sabah, Alfred Mangabis dan ketiga Abd. Rashid Abd. Rahman dari Johor.

Peserta dari Johor, Mohd. Asri Abd. Kadir muncul juara kategori bawah 80kg, diikuti Arif Khalil juga dari Johor manakala Jufri Tiong dari Brunei ketiga.

Sementara itu, gelaran Wali Walinongsari untuk juara ka­tegori wanita dimenangi Nur Aika Farina Harun dari Johor, kedua Tan Guat Ching dari Pulau Pinang manakala Roshaida dari Pahang tempat ketiga.