Tetapi lain pula bagi Nur Shakira Shah Kirit yang boleh dikira obses dengan seorang pemain profesional antarabangsa, Lionel Messi.

“Saya mula minat Messi sejak berusia 10 tahun. Masa itu, saya jadi obses sehingga sanggup buat penyelidikan tentang Messi,” kata Nur Shakira kepada S2 baru-baru ini.

Menurut Nur Shakira, disebabkan terlalu meminati Messi, dia diberi nama timangan oleh keluarga dan kawan-kawannya sebagai Ayra Messi.

Katanya, pada zaman persekolahan, dia hanya menulis tentang Messi jika ada tugasan kerja sekolah.

“Ayra ingat lagi pada 2013. Ketika itu, Ayra di Tingkatan 4. Messi datang ke Malaysia untuk perlawanan persahabatan dengan negara.

“Ayra telefon penganjur untuk merayu supaya benarkan Ayra menyertai satu pertandingan yang membolehkan pemenangnya berjumpa secara peribadi dengan Messi,” katanya.

Namun, disebabkan umurnya belum mencecah 18 tahun, penganjur tidak membenarkannya menyertai pertandingan tersebut.

Nur Shakira berkata, dia tiada pilihan lain dan terpaksa menangis di hadapan bapanya sambil menyatakan impiannya itu.

“Ketika itu, kami berada di kampung menyambut hari raya. Bapa bawa juga saya ke stadium bersama dua adik saya untuk menonton perlawanan tersebut,” katanya.

Ekoran itu, Nur Shakira menjadi bahan bualan penduduk kampung.

“Saya puas hati dapat melihat sendiri Messi beraksi di padang ketika sesi latihan,”ujarnya.

Walaupun belum pernah bersemuka dengan Messi, dia yang merupakan mahasiswa Ijazah Sarjana Muda Pengajian Perniagaan di Kolej Islam Antarabangsa menyimpan impian untuk bertemu dengan pemain itu, satu hari nanti.

Selain belajar sepenuh masa, Nur Shakira juga bergelar instafamous yang sering memuatnaik pelbagai aktiviti termasuk melakukan review berbayar untuk produk.