Menerokai perniagaan butik dan andaman seawal usia 17 tahun, minat gadis manis kelahiran negeri Tok Gajah itu dalam bidang perniagaan berpucuk sejak di bangku sekolah apabila banyak menghabiskan masa terutama semasa cuti sekolah di butik milik ibunya, Ann Hariz Khan, 44.

Nurul Athira berkata, bidang kecantikan termasuk fesyen menjadi minatnya, apatah lagi dia sudah biasa didedahkan dengan dunia perniagaan ibunya yang mengusahakan butik pakaian dan andaman.

“Setiap kali memerhatikan ibu menata rias wajah pelanggan, saya mengambil peluang mempelajari teknik solekan yang digunakan, selain belajar daripada media sosial.

“Saya cuba belajar sedikit demi sedikit dan menjadikan adik saya sebagai ‘testimoni’,” kata anak sulung daripada empat beradik itu kepada S2 baru-baru ini.

Berbekalkan Diploma Pengurusan Perniagaan, gadis kelahiran Kuantan itu mendapat banyak tunjuk ajar dan memahami selok-belok perniagaan daripada ibunya yang terlebih dahulu mengharungi bidang tersebut.

Nurul Athira mampu tersenyum lebar apabila cita-citanya untuk melebarkan sayap perusahaan ibunya tercapai apabila kini beralih ke perniagaan perkhidmatan kostum yang dihasilkan sendiri bersama adiknya, Nurul Amira, 22.

Katanya, idea untuk mengetengahkan perniagaan sewa kostum tercetus selepas melihat perniagaan butik pakaian pengantin semakin banyak wujud umpama cendawan tumbuh selepas hujan.

“Saya memikirkan sudah sampai masanya melakukan perubahan jika ingin terus bertahan dalam dunia perniagaan. Ternyata keputusan yang dibuat tidak silap. Saya cukup berbangga dengan usaha ini.

“Kini, ibu menjadi penasihat yang kadangkala memberi idea untuk menghasilkan kostum yang menarik,” katanya yang memiliki lebih 100 koleksi kostum merangkumi tema seperti masquerade, Arab, adiwira, watak kartun dan tradisional.

Bagi gadis berkenaan, untuk berjaya, cabaran masa depan terutama dalam dunia perniagaan harus berani dihadapi, di samping bersabar dengan kerenah pelanggan atau pesaing, selain memberi peluang kerjaya yang mampu memberi kepuasan serta pulangan yang lumayan.