SITI AISYAH ABDUL RAZAK
SITI AISYAH ABDUL RAZAK

Siti Aishah Abdul Razak atau lebih mesra dipanggil Asha bagaimanapun menyatakan dia tidak mahu terburu-buru mencipta nama dalam bidang nyanyian selepas tamat AF2016, walaupun mendapat pelbagai tawaran untuk merakamkan lagu.

“Cuma..., saya sekarang lebih menumpukan kepada aktiviti nyanyian secara sambilan untuk majlis tertentu apabila dijemput sahaja.

“Saya memang bercita-cita untuk terjun ke bidang nyanyian secara serius tetapi bukan sekarang. Saya tidak mahu terburu-buru mencipta nama,” katanya kepada S2.

Asha yang merupakan antara 15 peserta terpilih untuk pertandingan Pencarian Gadis Lola Love Cosmetics baru-baru ini juga mahu menumpukan kepada tugas hakikinya sebagai pembantu tadbir terlebih dahulu.

Berasal dari Masjid Tanah, Melaka tetapi kini menetap bersama keluarga di Kuala Lumpur, Asha lebih selesa mencipta populariti dalam bidang seni secara perlahan-lahan, memandangkan usianya masih muda.

“Saya percaya rezeki Allah tetap ada. Lagipun saya, anak sulung. Saya mempunyai tanggungjawab yang besar terhadap ibu bapa dan empat orang adik,” katanya.

Ditanya mengenai latihan vokal, Asha memberitahu, dia tidak pernah mengikuti kelas vokal kecuali semasa AF.

“Saya berlatih sendiri terutama sebelum melontarkan suara dalam majlis yang dijemput sahaja,” katanya.

Asha yang mempunyai pengikut di Instagram seramai 84,000 orang berkata, dia tidak menyangka akan terpilih menyertai pertandingan tersohor seperti AF dan mempunyai peminat sehingga puluhan ribu orang di laman sosial.