Menurutnya, kejadian itu berlaku ketika umurnya 11 tahun sewaktu menetap di Sandakan, Sabah.

“Pada petang tragedi tersebut, saya menemani orang gaji yang hendak pulang ke rumahnya di kawasan bandar Sandakan.

“Sebaik sahaja sampai di rumahnya, ibunya menyambut kami dalam keadaan marah-marah. Saya pada awalnya memang tidak mengetahui masalah keluarga yang dihadapi orang gaji.

“Dalam keadaan marah, ibunya melontarkan tuduhan kepada ibu saya dengan mendakwa anaknya sering dikurung di rumah kami. Sebagai balasan, ibunya mahu memperlakukan perkara yang sama kepada saya. Menyedari perkara buruk akan berlaku, saya terus melarikan diri ketika ibunya cuba menarik saya dengan kasar,” katanya.

Amirah menyedari ahli keluarga pembantu rumah itu cuba mengejarnya namun, dia terus berusaha melarikan diri.

“Memandangkan tiada kemudahan lif, saya terpaksa berlari menuruni tangga. Mujur rumahnya di tingkat dua. Sebaik sahaja berjaya keluar dari kawasan perumahan itu, saya berlari menuju ke sebuah stesen minyak berdekatan. Sampai sahaja di situ, saya menahan kenderaan dan meminta tolong supaya saya dihantar balik ke rumah,” kata anak keenam daripada tujuh beradik ini.

Meskipun cubaan menculik boleh diklasifikasikan sebagai perbuatan jenayah, namun Amirah tidak menceritakan kejadian itu kepada keluarganya.

“Saya teramat takut sehingga tidak berani menceritakannya kepada ibu bapa.

“Selepas peristiwa itu, orang gaji tidak datang bekerja selama sebulan. Hanya sebulan selepas itu, barulah dia kembali ke rumah dan memohon maaf kepada keluarga kerana telah menghilangkan diri sebelum membuat keputusan untuk berhenti kerja,” katanya.