Anak jati Kuala Lumpur ini mahu mencontohi guru teaternya, Khairul Mokhtar yang banyak terlibat dengan aktiviti kesenian teater yang memfokuskan kepada tarian, selain sering memenangi pelbagai pertandingan persembahan.

“Saya mahu menjadi seorang penggiat teater yang berkualiti dan profesional. Industri hiburan seni teater di negara ini mempunyai banyak lagi ruang dan peluang yang generasi muda boleh terokai,” katanya kepada S2.

Amira Arissa yang gemar melakukan aktiviti menari dan berlakon pada waktu senggang berkata, bidang teater merupakan satu cabang seni yang memerlukan bakat tersendiri.

Dia yang kini melanjutkan pengajian dalam bidang seni teater di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Kampus Puncak Perdana, Shah Alam, Selangor berkata, aktiviti berteater membuatkan dirinya mampu menyerlahkan ekspresi diri.

“Saya kini banyak bergiat dalam teater yang dianjurkan di universiti. Saya harap suatu hari nanti, impian saya untuk beraksi di Istana Budaya akan tercapai,” katanya.

Katanya, sehingga kini dia sudah membuat lima persembahan teater yang dianjurkan di UiTM.

Amira Arissa berkata, dia tidak kisah jika diberikan peranan pelbagai watak kerana apa yang penting baginya adalah menjiwai setiap karekter yang diberikan.