Merupakan tapak perkhemahan dan perkelahan yang serba lengkap. Sungai Lipis yang menjadi tarikan di sini adalah sungai berjeram dan berbatu dengan air yang jernih mengalir sejuk.

Lebih menarik lagi kawasan ini menyediakan berbagai kemudahan rekreasi bagi pengunjung yang berminat. Selain mandi-manda dan perkhemahan, Lata Lembik juga menyediakan pakej menarik untuk pengunjung yang lasak.

Pengunjung boleh memilih aktiviti seperti berakit arus deras, tubing, abseiling/repelling, flying fox, wall climbing, tunneling, high wire walk dan merentas hutan. Tapak perkhemahan di sini juga dilengkapi dengan kemudahan calet yang boleh disewa bagi keselesaan pengunjung.

Baru-baru ini, Ampang Bikers Community (ABC) telah menganjurkan satu perkhemahan bagi menghimpunkan ahli mereka yang berminat dengan aktiviti perkhemahan. Dianjurkan buat kali ketiga, CampMeet 2018 berjaya menghimpun hampir 180 kenderaan dalam satu aktiviti konvoi bermotosikal pelbagai jenama dan kuasa (cc) dalam satu program perkhemahan berkonsepkan keluarga. Ahli yang berkeluarga nampaknya lebih selesa menggunakan kereta, van, campervan, van pelbagai guna (MPV) dan kenderaan pacuan empat roda (4wd) untuk ke sini.

Menurut Penasihat ABC, Ahmad Fahmy Ahmad Nazri,48, aktiviti ini berjaya menarik penyertaan peminat motosikal dari pelbagai peringkat umur dan jenis jentera.

“Aktiviti ini lebih kepada kekeluargaan. Namun ada juga yang menunggang ‘solo’ dan berdua (couple rider) menyertainya.

“Ahli yang berkeluarga lebih selesa memandu kereta dengan mengikut konvoi motosikal,” katanya kepada S2.

Menurutnya, objektif program itu adalah mengumpulkan ahli yang mempunyai minat yang sama dalam satu aktiviti santai, selain bertukar-tukar pengalaman dan pengetahuan mengenai motosikal, terutama yang suka mengembara, berjalan dari satu lokasi ke satu lokasi dengan motosikal.

“Untuk berkonvoi dan mengembara, jenama motosikal dan cc tidak penting. Yang penting adalah keinginan untuk mengembara dengan bermotosikal,” ujarnya.

Selain itu, katanya, aktiviti itu sesuai dengan trend sekarang iaitu kembara bermotosikal dan perkhemahan.

“Kami harap peserta dapat menggunakan masa santai ini untuk berbincang dan bertukar-tukar pengalaman dengan rakan yang lebih senior mengenai isu berkaitan kembara bermotosikal dan tip penjagaan,” katanya.

Dalam pada itu, pihak ABC juga menjemput penunggang berpengalaman untuk berkongsi maklumat mengenai motosikal, lokasi menarik dan tip penjagaan motosikal, selain berkongsi pengalaman kembara ke luar negara.

Antara aktiviti yang diadakan ialah trail riding, permainan elemen tali tinggi seperti flying fox,meniti tali, wayang pacak, cabutan bertuah serta persembahan muzik dari kumpulan Chekdet RS dengan irama santai muzik reggae pada waktu malam.

Pada hari itu juga, penganjur menyerahkan sumbangan iaitu pakaian terpakai dan baru, permainan kanak-kanak, buku dan beberapa keperluan lain yang dikumpul daripada ahli untuk diserahkan kepada wakil penduduk Pos Buntu.