Menurut gadis kelahiran Alor Setar itu, idea menjual ais krim timbul kerana dirinya amat menggemari pemanis mulut tersebut. Gadis yang memiliki Ijazah Sarjana Muda Rekaan Grafik dari Universiti Middlesex, London itu lebih mesra disapa Melly.

Katanya, menjual ais krim tidak bermakna dirinya tidak boleh memanfaatkan ilmu yang dipelajari, sebaliknya dia percaya kemahiran rekaan grafik boleh dipraktikkan di mana-mana sahaja termasuk menerusi makanan.

“Selepas tamat belajar, saya bekerja sebagai pereka grafik (pengiklanan) di Pulau Pinang selama setahun sebelum menjadi pereka grafik bebas. Kemudian saya menceburi bidang hartanah yang merupakan perniagaan keluarga.

“Kesemua itu tidak menghalang saya untuk merealisasikan impian sendiri. Jadi, saya ambil keputusan pada hujung tahun lalu untuk membuka perniagaan dengan mewujudkan Skream Softserve.

“Walaupun masih baharu, namun di situ ada ‘jiwa’ saya kerana sejak sekian lama, saya bercita-cita untuk mempunyai jenama sendiri. Di Skream Softserve, saya boleh menggunakan ilmu dipelajari untuk mencipta menu, rekaan logo dan dekorasi bagi mengukuhkan jenama ais krim ini,” katanya kepada S2.

Bercerita mengenai ais krim nasi lemak ciptaannya yang menjadi tular di media sosial, Melly memberitahu, dia mengambil masa hampir dua bulan untuk mendapatkan resipi yang tepat bagi memastikan pelanggannya tidak kecewa dengan menu ‘unik’ tersebut.

Anak bongsu daripada dua beradik itu, berkata, dia mencipta kelainan menerusi ais krim nasi lemak kerana mahu menyuntik inovasi baharu kepada makanan Malaysia yang diminati pelbagai kaum di negara ini.

“Saya menggunakan kacang tanah, ikan bilis, sambal kering, telur puyuh dan timun untuk menghasilkan ais krim nasi lemak tanpa menggunakan nasi. Selain itu, saya menggunakan perisa serai dan santan kelapa bagi menghasilkan ais krim.

“Bagi mengukuhkan jenama Skream Softserve, saya kini sedang mencipta ais krim perisa buah-buahan sebelum menjualnya kepada orang ramai,” ujarnya yang minat melukis pada masa lapang.