Berbekalkan bakat nyanyian semula jadi dan kerja keras, anak kelahiran Jakarta, Indonesia ini terus menjadi kegilaan ramai, khususnya wanita.

Mungkin ada yang belum tahu, selain nyanyian Afgan juga berkecimpung dalam fesyen sejak setahun lalu. Penglibatannya membuahkan hasil apabila penyanyi bersuara merdu ini berjaya mengembangkan jenama Arez.co di negaranya, bermula Jun 2015.

Terbaharu, menerusi kerjasama dengan platform perdagangan dalam talian popular, Fashion Valet, impian pelantun Jodoh Pasti Bertemu itu untuk memasarkan Arez.co di Malaysia akhirnya tercapai.

Kerjasama tersebut menjadi rasmi dalam majlis yang diadakan di butik Fashion Valet, Pavilion baru-baru ini. Afgan ketika ditemui menyuarakan kegembiraan kerana berpeluang untuk berkongsi cita rasa fesyen dengan peminat tempatan.

“Arez.co adalah rekaan yang bertepatan dengan karakter saya. Tambahan pula, ia melambangkan kehendak dalam penampilan saya.

“Saya optimistik terhadap masa hadapan jenama ini di Malaysia. Saya yakin ramai yang akan menyukainya kerana rekaan yang dihasilkan menggunakan fabrik yang selesa dipakai serta bersesuaian dengan cita rasa masyarakat tempatan.

“Selain itu, koleksi ini juga sesuai digayakan wanita bertudung. Kami hasilkan beberapa rekaan baju lengan panjang untuk golongan tersebut yang juga merupakan antara penggemar koleksi Arez.co,” katanya.

Bercerita tentang muzik, Afgan memberitahu dia baharu sahaja selesai melancarkan single ketiga daripada album Side. Katanya, lagu tersebut cukup bermakna kerana melibatkan proses penerbitan berskala besar.

“Lagu berjudul Ku Dengannya Kau Dengan Dia ini berkonsepkan balada. Ia dicipta oleh Rian D’Masiv, manakala susunan muzik dibuat Erwin Gutawa. Ini adalah kerjasama sulung antara saya dengan mereka.

“Muziknya kedengaran lebih dewasa kerana turut mengetengahkan elemen orkestra yang dirakam di Prague, Republik Czech. Justeru itu, ia kedengaran sedikit berbeza dengan lagu-lagu berentak balada nyanyian saya yang terdahulu,” katanya yang mengakui cepat bosan dan sentiasa mengejar pembaharuan.