Kursus sehari itu bagi melayakkan mereka memperoleh sijil asas mendaki Southeast Asia Clim­bing Federation (SEACF) anjuran Pejabat Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia Pahang dengan kerjasama Kelab Komuniti Mendaki Jerantut.

Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia Pahang, Datuk Idros Yahya berkata, kursus asas mendaki itu penting kepada penggemar sukan ekstrem untuk memahami selok-belok pendakian dengan teknik yang betul termasuk aspek keselamatan.

“Pendakian bukit dan laluan via ferrata (jalan besi) memerlukan kemahiran termasuk penggunaan peralatan tertentu bagi me­ngurangkan risiko keselamatan peserta di samping menjadikan cabaran lebih menarik.

“Kemahiran asas dan kursus lanjutan di laluan via ferrata Bukit Paya Gunung sangat berguna untuk belia berkenaan supaya mampu terbabit sepenuhnya sebagai pengemudi (pemandu) pendakian bagi membantu pengunjung yang berminat dengan aktiviti ini,” katanya ketika ditemui dalam kursus berkenaan.

Yang hadir sama ialah Ahli Parlimen Jerantut, Datuk Ahmad Nazlan Idris.

Dalam kursus tersebut, para peserta yang terdiri daripada belia Kampung Paya Gunung, Kelab Mendaki Komuniti Jerantut, Taman Negara Kuala Tahan dan Merapoh dilatih mendaki menerusi tunjuk ajar jurulatih mendaki berpengalaman dari kelab sukan ekstrem Blank Face Adventure, Roszaman Ismail.

Menurut Idros, pihaknya berhasrat melatih lebih ramai belia dalam kegiatan mendaki sebagai antara usaha merancakkan kegiatan ekstrem untuk menarik lebih ramai pelancong luar ke negeri ini.

Sementara itu, seorang peserta, Mohd. Syukri Jali, 40, berkata, dia berpeluang mengasah kemahiran mendaki khususnya penggunaan peralatan dan dari aspek keselamatan.

“Sebagai pemandu pelancong yang mengendalikan eksplorasi dan mendaki Gua Batu Kapur Merapoh, latihan ini menambah pengetahuan dan pengalaman khusus­nya ketika menganjurkan kegiatan ekstrem melibatkan pelajar serta pelancong,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Nazlan berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan Kelab Komuniti Mendaki Jerantut dan penduduk Kampung Paya Gunung untuk merancang kemudahan rekreasi bagi mempopularkan kegiatan ekstrem mendaki bukit di situ.

“Saya difahamkan Bukit Kampung Paya Gunung antara lokasi via ferrata yang menarik malah menjadi tumpuan penggemar sukan mendaki seluruh negara dan antarabangsa sekali gus sebagai kegiatan baharu pelancongan daerah ini,” katanya.