Lebih manis program itu turut diraikan oleh isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor yang tiba pada kira-kira pukul 3 petang dengan di­iringi Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah dan isteri, Datin Seri Hizam Awang Ahmad.

Rosmah turut merenjis air mawar dan menepung tawar pasa­ngan mempelai berkenaan selepas bergambar bersama kumpulan pe­ngantin dengan berlatarbelakangkan Mas­jid Zahir.

Secara amnya, program yang kali kedua dianjurkan itu bertujuan merealisasikan impian golongan kurang berkemampuan melangsungkan majlis perkahwinan secara gilang-gemilang.

Dengan hanya membayar RM500, pasangan mempelai dapat meraikan detik indah mereka tajaan busana pengantin, solekan, jurugambar, majlis makan beradap, penginapan dan kursus asas kekeluargaan secara percuma.

Bagi pasangan Yusshafarhan Hakimi Yusof Shah, 24, dan Mas Edayu Shabani, 22, program yang diperkenalkan kerajaan negeri ini membantu memudahkan golo­ngan muda seperti mereka meng­uruskan majlis perkahwinan.

Menurut Yusshafarhan Hakimi, mereka berasa gembira ke­rana berpeluang mengadakan majlis perkahwinan secara besar-besaran dengan kos sebanyak RM500 sahaja.

“Saya dan pasangan sudah ber­tunang hampir 10 bulan dan sepatutnya kami merancang untuk berkahwin pada Disember ini.

“Bagaimanapun apabila nam­pak iklan penganjuran Majlis Walimatulurus Perdana ini, saya dan pasangan tertarik untuk serta kerana yuran pendaftarannya murah dan kami dapat berjimat sedangkan perkahwinan diraikan dengan meriah,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Sementara itu, Ayu Fateha Abdul Hamid, 26, mengakui agak keberatan untuk mendaftar sebagai peserta Majlis Walimatulurus Perdana walaupun bapanya bersungguh-sungguh mahu dia dan pasangannya, Mohammad Sufian Mohamad Safri, 26, me­nyertai program tersebut.

“Kami tahu mengenai program ini pun daripada ayah saya. Dia yang bersungguh-sungguh mahu kami sertai majlis berkahwin ramai-ramai ini.

“Saya pada awalnya kurang berminat kerana berasa malu namun sokongan daripada keluarga dan rakan-rakan, kami bersetuju. Selain itu, pakej yang ditawarkan sungguh menarik dan pada masa sama, kami tidak perlu mengeluarkan belanja besar untuk majlis perkahwinan ini,” ujarnya yang me­ngikat tali pertunangan pada Jun lalu.

Katanya, mereka hanya menyediakan urusan borang nikah, duit mas kahwin serta yuran pendaftaran manakala selebihnya diuruskan oleh jawatankuasa pro­gram tersebut.

Tambahnya, mereka hanya me­rancang untuk mengadakan ken­duri kesyukuran di pihaknya dan majlis sebelah lelaki pada Disember ini.