Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan Dalam Negeri dan Kepenggunaan negeri, Datuk Tee Siew Kiong berkata, FLLSPG kali ini mendapat penyertaan dua negara baru iaitu dari Finland dan Norway.

"FLLSPG selama lima hari ini yang bertemakan Memperkasa Komuniti Dunia bakal melibatkan kira-kira 1,000 pelayang termasuk 200 penyertaan dari luar negara.

"Antaranya dari China, Indonesia, Australia, Jepun, Singapura, Jerman, Perancis, England, Belanda, Turki, Poland, Rusia, Ukraine, Amerika Syarikat dan Brazil," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar Pra pelacaran FLLSPG ke-23 di Paradigm Mall di sini sebentar tadi.

Yang turut hadir Yang DiPertua Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG), Hasrin Kamal Hashim; Presiden Majlis Pelayang Malaysia (MPM) merangkap Yang Dipertua Persatuan Pelayang Johor
(PPJ), A. Rahim Nin dan Pengarah Tourism Johor, Abdul Malik Ismail.

Festival tahunan yang bermula sejak 1995 itu dianjurkan MPPG dengan kerjasama Jabatan Pelancongan Negeri Johor, MPM dan PPJ dengan kerjasama pelbagai pihak.

Menariknya FLLSPG terus mengekalkan kerjasama dengan Pejabat Wilayah Satun, Thailand menerusi Festival Layang-layang Antarabangsa 2018 kali ke-38 bermula 23 hingga 26 Februari.

Selepas FLLSPG di Pasir Gudang, sebahagian pesertanya akan dibawa ke Festival Layang-layang Kabong 2018 di Pantai Tanjung Kembang, Kabong, Sarawak pada 9 hingga 12 Mac. - UTUSAN ONLINE