Ketua ekspedisi, Zainudin Lot,42, berkata, pihaknya berbesar hati menerima tajaan dalam bentuk wang tunai dan produk multivitamin jenama Proviton daripada syarikat bioteknologi, CCM Duopharma Bhd. (CCMD).

Menurutnya, tajaan itu diharap dapat memberi galakan kepada pendaki untuk kekal cergas dalam setiap hari pendakian.

“Kami berbesar hati menerima sokongan tajaan daripada CCMD. Dengan tajaan ini, saya harap kesemua peserta kekal sihat dan cergas sepanjang mengharungi cabaran 18 hari mendaki,” katanya dalam satu kenyataan kepada S2.

CCDM merupakan syarikat korporat yang telah berada di Malaysia sejak 50 tahun lalu. Syarikat itu turut disenaraikan di Papan Utama Bursa Malaysia. Kepakaran dan pengalaman CCDM selama berdekad dalam memberikan komitmen bagi menyediakan penyelesaian berterusan berdasarkan sains inovatif kepada sektor perkilangan telah membantu mempertingkatkan kualiti hidup masyarakat. Aktiviti perniagaan utama syarikat itu termasuklah produk dan aplikasi kimia dan salutan polimer.

Majlis penyerahan tajaan telah diadakan di Kelab Shah Alam baru-baru ini dan disempurnakan oleh Pengurus Besar CCDM, Shamsul Idham Ahad.

Selain Zainudin, peserta lain adalah Mohamad Kamarudin Hassan,63; Md Mahir Abdullah, 63; Abdul Jalil Abdul Hamid,37; Khairuddin Abdul Aziz, 63; Abd Rahim Hussin, 63; Nik Mohd Maseri Nik Mohamad, 63; Nazwan Fauzan, 44; Zulkifli Yusof,31; dan Muhamad Hafifi Burati, 24.

Empat pendaki wanita yang menyertai ekspedisi ini ialah Rosaliza Mohd Sarit, 37; Sharifah Zurina Syed Zainulabidin,40; Noor Hanan Abdul Rashid,44, dan Noorzurina Muhammad,47.

Ekspedisi ini bermula di Lukla yang mana pendaki akan menempuh beberapa kem seperti Namche Bazaar,Gokyo dan Chola Pass sebelum tiba di EBC pada ketinggian 5,380 meter dari paras laut. Perjalanan pulang dari EBC ke Lukla pula akan mengikut laluan klasik tanpa melalui Chola Pass.

Sementara itu, Rosaliza berkata, beliau telah bersedia untuk melakukan pendakian ke EBC dan berharap apa yang dirancang menjadi kenyataan.

“Untuk ketahanan diri, selain berjoging, saya juga melakukan senaman kardio di gimnasium. Apa yang saya lakukan ini adalah untuk memastikan saya sentiasa fit dan bertenaga sepanjang cabaran EBC,” katanya.

Menurutnya, dari segi persiapan mental pula, beliau banyak membaca artikel mengenai pengalaman pendaki lain yang pernah ke EBC, selain menonton video berkaitannya di YouTube.

Menerima dorongan daripada suami dan keluarga, Rosaliza mempunyai impian untuk menggapai puncak tertinggi dunia, Gunung Everest pada tahun 2024.

“Jadi, saya kena pergi ke base camp (EBC) dulu. Nak tengok ketahanan diri setakat mana. Mampu atau tidak nak ke puncak nanti,” ujarnya.

Dia berterima kasih kepada suami yang membantunya menjaga anak semasa menjalani latihan kecergasan, mendaki dan menyertai larian maraton.

Dalam pada itu, baju-t eksklusif sempena ekspedisi ini dijual kepada orang ramai bagi tujuan amal. Maklumat lanjut, boleh layari laman web www.puncakventures.com atau Facebook, Alpine Club Malaysia.