Diberi nama Almari Kasih Sayang (Caring Cabinet), konsep tersebut sudah diperkenalkan di kampus universiti itu di Kuala Lumpur dan akan diwujudkan di sini dalam masa terdekat.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) UTM, Prof. Dr. Durrishah Idrus berkata, kabinet khas itu diperkenalkan bagi membantu penuntut daripada keluarga B40, iaitu kira-kira 50 peratus daripada mereka.

“Konsepnya mudah, kita sediakan kabinet itu dan sesiapa sahaja termasuk orang luar boleh menghulurkan sumbangan makanan atau minuman dan penuntut yang memerlukan boleh ambil sahaja di situ,” katanya dalam sidang akhbar selepas meninjau proses pendaftaran penuntut baharu UTM, di sini hari ini.

Beliau berkata, usaha tersebut merupakan sebahagian daripada sistem sokongan dan kebajikan kepada mahasiswa selain menyediakan infrastruktur terbaik.

Menurutnya, sistem sokongan dan kebajikan lain yang ditawarkan di UTM ialah bantuan kewa­ngan UTM endowmen, insurans, sumbangan makanan harian, zakat wakaf dan bantuan pinjaman jangka pendek serta pe­luang penuntut menambah pendapatan menerusi Job on Campus (JOC).

Durrishah berkata, bagi memberi infrastruktur yang baik, UTM telah membaik pulih antaranya bangunan fakulti dan asrama serta kemudahan internet dengan kos sebanyak RM50 juta bagi memastikan persekitaran yang les­ta­ri, kondusif, selamat dan sihat.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, seramai 3,944 penuntut baharu peringkat ijazah sarjana muda ditawarkan tempat untuk mengikuti pengajian sesi 2018/2019 bagi 55 program prasiswazah di tujuh buah fakulti di UTM.

Daripada jumlah itu, seramai 544 orang merupakan penuntut antarabangsa termasuk dari negara Eropah seperti United Kingdom, Jerman dan Kanada dengan 227 orang mendaftar di kampus Kuala Lumpur dan selebihnya di sini.