Terbaharu, jenama mewah yang menjadi kegilaan wanita di seluruh dunia itu tampil dengan rekaan istimewa sempena musim bunga/panas tahun 2018 iaitu Chubby Collection.

Keunikan rekaan tersebut menampilkan ciri ceria, segar, warna-warni pastinya memberi kelainan dan gaya istimewa tanpa membelakangkan kepentingan beg tangan itu sendiri.

Mengambil inspirasi gaya fesyen 70-an, walaupun lebih bercirikan tema ceria, koleksi ini sesuai untuk wanita yang ingin mencuba pelbagai gaya tidak mengira peringkat umur.

Menariknya, Anya Hindmarch mempertaruhkan jahitan tangan oversized piping sehingga menjadikan rupa bentuk aksesori yang ditawarkan kelihatan seperti ‘bantal’ tanpa meninggalkan kepentingan kualiti fabrik dengan menggunakan kulit Nappa lembut.

Hadir dengan konsep aksesori yang diadun berasaskan elemen kartun, rekaan Chubby Collection cukup memikat kerana diilhamkan daripada animasi Fat Car karya Erwin Wurm berjaya menzahirkan nilai kreativiti pada beg tangan jenama ini.

Selain rekaan yang menarik, keselesaan juga menjadi identiti utama jenama ini dengan menampilkan rekaan yang lebih ringan dan lembut membuatkan si pemakai dapat bergaya dengan lebih bebas.

Selain beg tangan, Chubby Collection juga menawarkan pelbagai aksesori lain seperti beg genggam, rantai kunci, tali beg, dompet dan sandal. - UTUSAN ONLINE