Lebih 80 peserta yang terdiri daripada anggota Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) di Sabah, siswa dan siswi UMS serta orang ramai telah menyertai aktiviti, wacana fotografi dan program mentor mentee.

Program yang julung kali diadakan di Sabah itu mendapat sambutan luar biasa walaupun tentatif festival berkenaan agak padat dengan pelbagai acara lain seperti kupi-kupi, pembelajaran menggunakan kaedah pembelajaran dalam talian melalui frogasia.com serta aktiviti lain yang dijalankan oleh Bank Simpanan Nasional.

Antara jurufoto terlibat dalam program itu ialah Azalezah Malek, Abdul Rahman Salleh, Mohd Naim Aziz, Fauzi Baharudin, Amir Hafiz Abdul Rahman, Irwan Majid serta Penolong Pengarang Mingguan Malaysia, Azman Anuar.

Selain mengadakan wacana santai bersama mereka mengenai fotografi pemberitaan akhbar, satu pameran hasil karya jurufoto Kumpulan Utusan Melayu (M) Berhad juga dipamerkan kepada khalayak yang hadir.

Tetamu kenamaan juga turut mengunjungi ruang pameran Lensa Rencam seperti Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman dan Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid yang diiringi oleh Pengarah Urusan Kumpulan Utusan Malayu (M) Berhad, Datuk Noordin Abbas dan Timbalan Ketua Pengarang Kumpulan, Datuk Othman Mohamad.

Di festival tersebut juga diadakan satu pertandingan fotografi yang terbuka kepada semua peserta wacana fotografi bertemakan Keunikan Sambutan Hari Guru di mana hadiah telah ditaja oleh Wardah D Kota dan Nikon Malaysia.

Program Sambutan Hari Guru selama empat hari itu turut ditaja sepenuhnya oleh YTL Communications Sdn. Bhd. (YTL) dan Bank Simpanan Nasional (BSN) serta disokong oleh Universiti Malaysia Sabah (UMS), Jabatan Pendidikan, Kolej Komuniti, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) dan Unitar International University (Unitar).

Turut memberi sokongan adalah Nestle Malaysia Bhd., Revive Isotonic, Malindo Air, Hotel Grand Borneo, Adabi Consumer Industries Sdn. Bhd. (Adabi) dan Buku Digital Interaktif Didik Hibur. - Admin LensaRencam