Kuala Lumpur-27 Okt 2015- CEO Teraju,Datuk Husni Salleh Seri ketika
Husni Salleh

Ketua Pegawai Eksekutif Unit Perancang Bumiputera (Teraju), Datuk Husni Salleh berkata, ketika ini hampir 90 peratus daripada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bumiputera di negara ini masih lagi di peringkat mikro.

Katanya, kerajaan telah me­ngam­bil pelbagai pendekatan un­tuk memperkukuhkan bidang ke­usa­hawanan ke arah mencapai sasaran 40 peratus sumbangan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2020.

“Banyak tumpuan diberikan kerajaan untuk membangunkan PKS menerusi Bajet 2016 dan kita harap ia dapat melonjakkan usaha melahirkan lebih ramai usahawan berdaya saing terutama di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) kerana tempoh lima tahun ini amat kritikal untuk menilai kedudukan bumiputera dan PKS,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas sesi yang membincangkan tentang Kepimpinan Keusahawanan Pada Masa Depan pada Perbincangan Meja Bulat Muslim World Biz Kali Keenam di sini hari ini.

Sesi tersebut yang dikendalikan Pengarah Urusan Glenreagh Sdn. Bhd., Nordin Abdullah turut disertai Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Zilzar Tech Sdn. Bhd., Rushdi Siddiqui; Pengasas Kumpulan Solico, Gholmali Soleimali dan Ketua Pegawai Eksekutif Emperor Fine Jewels, Nitin Goenka.

Pada pembentangan Bajet 2016 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak Jumaat lalu, PKS menerima manfaat lebih RM1.3 bilion, antaranya tambahan RM1 bilion kepada Skim Dana Pembiayaan PKS Patuh Syariah sehingga 31 Disember 2017 dengan kerajaan menanggung dua peratus daripada kadar keuntungan pembiayaan.

Kerajaan turut memperuntukkan RM107 juta untuk Pelan Induk PKS bagi pemberian dana pada pelbagai peringkat perniagaan dan RM60 juta bagi Skim Anjakan Usahawan dan Skim Peningkatan Kapasiti serta Keupayaan PKS.

Sementara itu, pada sesi tersebut Goenka berkata, perkembangan teknologi maklumat (IT) dan suntikan inovasi dapat membantu memacu perkembangan perniagaan dan menjadi satu entiti di peringkat global.

“Sebagai contoh, Alibaba, Facebook dan Airbnb yang tidak mempunyai isi kandungan (content) tetapi mampu menjadi jenama penting dalam jaringan antarabangsa dan menghubungkan seluruh dunia,” katanya.