Ini kerana kesemua peranti elektronik mempunyai kamera dan sudah tentu aktiviti merakam gambar menjadi salah satu daripada perkara yang tidak dapat dielakkan. Sungguhpun demikian apabila berbicara tentang kualiti gambar, sudah tentu ia berbeza dengan gambar yang dirakam oleh mereka yang mempelajari teknik fotografi secara formal.

Hampir kesemua imej yang dirakam oleh khalayak umum adalah bersifat snap shot sahaja tanpa memikirkan tentang prinsip seni visual. Apatah lagi mengetahui secara mendalam perkara yang berkaitan dengan aspek teknikal sesebuah kamera.

Oleh itu sekumpulan pelajar dari Fakulti Animasi & Multimedia ASWARA ingin membuat satu kelainan dengan memperagakan karya mereka kepada masyarakat umum. Hal ini kerana mereka ingin berkongsi kepada umum bahawa pentingnya untuk kita memahami dan mempelajari teknik fotografi dengan betul agar imej yang dirakam boleh dijadikan satu karya seni.

Karya yang dipamerkan ini mengangkat pelbagai subjek seperti alam semula jadi, ragam manusia, potret serta seni abstrak.

Kesemua imej yang dirakam ini sarat dengan elemen-elemen seni visual seperti cahaya dan bayang, rupa dan bentuk, warna panas dan sejuk dan pelbagai lagi.

Menurut Dekan Fakulti Animasi dan Multimedia, Jazmi Jamal, imej yang dirakam ini sangat menakjubkan dan setanding dengan jurufoto profesional.

Ini kerana kualiti yang dijelmakan begitu kreatif sedangkan mereka baharu sahaja berada dalam semester 2 pengajian.

“Walaupun fotografi merupakan subjek elektif, tetapi mereka berjaya menguasainya dengan baik,” kata Jazmi.

Pelajar yang juga merupakan ketua pameran, Sim Er Wen menyatakan bahawa inisiatif untuk mengadakan pameran ini kerana ingin berkongsi idea dan inspirasi mereka sebagai pelajar dengan masyarakat umum.

Ini kerana kebanyakan hasil karya pelajar hanya terhad di dalam kelas sahaja, justeru perlu bagi mereka untuk merubah persepsi tersebut. “Hasil kreatif pelajar perlu ditonjolkan kepada masyarakat umum agar mereka lebih yakin dan tidak syok sendiri sahaja”, ujarnya lagi.

Pameran Refleksi ini disertai oleh 17 orang pelajar dan diadakan di Fakulti Animasi & Multimedia ASWARA. Pameran berlangsung dari 1 Oktober sehingga 30 November 2018. Waktu lawatan 9.00 pagi sehingga 5.00 petang. Masuk adalah percuma.