GM Klang luaskan penawaran produk runcit, borong - Utusan Malaysia

GM Klang luaskan penawaran produk runcit, borong

NUR FAEZAH Mohd. Arsad (kiri) dan kakitangan GM Klang memperkenalkan Aplikasi Komuniti Perniagaan GM Klang, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: GM Klang, Pusat Borong Terbesar di Malaysia merancang untuk meluaskan lagi penawaran produk kepada pelanggan dan pemborong selain ingin memudahkan aktiviti perniagaan para usahawan tempatan, seiring dengan hasratnya untuk menjadi hab perdagangan domestik dan antarabangsa.

Antara usaha yang dilakukan bagi mencapai hasrat tersebut adalah dengan menempatkan ruang pameran produk-produk antrabangsa seperti GM International Exihibiton (GMIE) yang telah dilancarkan pada tahun lalu.

Penolong Pengurus, Komunikasi Korporat dan Perhubungan Awam GM Klang, Nur Faezah Mohd. Arsad berkata, GMIE adalah pusat pameran produk mainan dan kanak-kanak yang pertama di Asia Tenggara yang berperanan sebagai satu platform untuk mengumpulkan semua pengusaha dan pengilang produk kanak-kanak di seluruh dunia.

“Pusat pameran yang berkeluasan kira-kira 1114.8 meter persegi itu menawarkan lebih 10,000 sampel barangan permainan dan produk bayi.

“Antara barangan permainan dan produk bayi yang ditawarkan dari negara luar adalah permainan elektronik, anak patung dan aksesori, figura aksi dan lain-lain lagi.

“Produk-produk tersebut ditawarkan secara terus daripada kilang-kilang pembekal tanpa melalui orang tengah sekaligus menjadikan harga yang ditawarkan jauh lebih murah berbanding tempat lain.

“Pelanggan hanya perlu mengimbas kod bar yang disediakan pada produk bagi mendapatkan maklumat lanjut seperti spesifikasi produk, jumlah order minima, harga dan proses pembungkusannya,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Selain itu, beliau memberitahu, GM Klang turut menawarkan servis tambahan lain seperti segmen pengeluaran produk tulen (OEM), permainan yang dibuat khas (custom made), pengurusan pemasaran bisnes termasuklah servis import dan eksport mengikut kehendak pelanggan.

Katanya, sekiranya terdapat kekangan untuk pelanggan hadir ke pusat pameran itu, pelanggan boleh layari laman web gmie.com.my untuk melihat katalog barangan dan menempah secara dalam talian.

Lebih menarik, GM Klang juga akan bekerjasama dengan bandar Yiwu, China, yang terkenal sebagai pusat borong terbesar di dunia. Ruang tersebut akan menempatkan pelbagai produk yang terdapat di Bandar Borong Yiwu.

Nur Faezah menjelaskan, GM Klang berperanan sebagai jambatan yang menghubungkan dan memudahkan pemilihan produk yang ingin dibeli secara borong tanpa perlu ke luar negara.

“Ia akan menawarkan lebih banyak pilihan produk untuk dibeli secara pukal oleh para usahawan yang ingin memulakan perniagaan kecil-kecilan atau yang ingin menambah stok perniagaan.

“Ia dijangka akan dibuka pada 2022 untuk para usahawan dan pemborong di seluruh Malaysia. Kami mengalu-alukan kedatangan orang ramai untuk melihat sendiri keistimewaan ruang pameran tersebut setelah ia dibuka kelak,” katanya lagi.

GM Klang menerima kunjungan hormat Kementerian Pembangunan Industri dan Persatuan PKS Sabah, diketuai Setiausaha Tetap kementerian, Thomas Logijin (tengah), baru-baru ini.

Bercakap mengenai perancangan GMK Klang pada masa depan, Nur Faezah memberitahu, GM Klang juga akan menyertai rangkaian dunia digital dengan melancarkan aplikasinya sendiri. Sudah semestinya, aplikasi itu disasarkan kepada para usahawan, peniaga termasuk pengusaha dalam talian yang sering membuat urusan perniagaan bersama para pemborong GM Klang.

Mengulas lanjut, Nur Faezah berkata, GM Klang juga memainkan peranan dalam merancakkan sektor pelancongan Bandar Klang dengan bekerjasama dengan badan-badan pelancongan seperti Tourism Malaysia, Tourism Selangor, Malaysia Inbound Tourism Association (MITA) untuk terus mempromosikan dan tingkatkan penjenamaan GM Klang di dalam dan luar negara selain memartabatkan Bandar Klang.

“Kami menggalakkan aktiviti pelancongan menerusi Program Insentif Pelancongan dan GM Klang juga akan berkolaborasi dengan Tourism Selangor untuk melaksanakan kempen ‘Datang Klang, Pasti Girang!’ Dengan menawarkan ‘Kegirangan Berganda’ buat pengunjung yang melancong ke Bandar Klang,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, sempena ulang tahun GM Klang ke-12 pada 1 Oktober lalu, ia turut menjalankan kempen ‘Road to Bonanza 12’ (RTB-12) yang telahpun berlangsung pada bulan Jun sehingga 31 Disember ini sebagai tanda penghargaan kepada pelanggan yang setia.

Dua pemenang hadiah bulanan berpotensi untuk memenangi pakej pelancongan tempatan bernilai RM2,000 dan hadiah utama yang akan dipilih pada Disember ini adalah sebuah motosikal berjenama.

Perkembangan GM Klang boleh diikuti di media sosial rasmi Facebook dan Instagram (@gmklang), Twitter(gmklangofficial), TikTok (gmklang_official). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.