Pengarah Urusan SMSS, Tadashi Ohyama berkata, seiring dengan teknologi yang semakin berkembang, pihaknya turut menginovasi produk-produknya bagi mengikut kehendak pengguna.

“Menggunakan teknologi baharu iaitu ekosistem 8K, televisyen premium ini didatangkan dengan dua saiz iaitu 70 inci dan 80 inci.

“Bagaimanapun harga bagi kedua-dua saiz itu masih belum dimuktamadkan kemungkinan akan diketahui tahun depan,” katanya dalam sidang akhbar dalam Majlis Pelancaran Produk Sharp di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Tadashi berkata, televisyen AQUOS 8K memberikan imej yang nyata dan dramatik iaitu 16 kali resolusi penuh HD berbanding imej 2K.

Dalam majlis tersebut, Sharp turut memperkenal produk-produk baharu yang lain seperti televisyen AQUOS 4K UHDR pertama dunia yang menerima pengiktirafan THX dan menawarkan empat kali ganda resolusi piksel definisi tinggi yang menyerlahkan paparan dengan butiran lebih besar dan lebih impak.

Dijana oleh pemproses termaju Sharp, AQUOS X8-Master Engine Pro mempertingkatkan kadar warna paparan televisyen tersebut kepada tahap yang terbaik.

Seperti juga siri UE630X, barisan model baharu itu juga dikuasakan oleh Android TV menjadikanya antara televisyen pintar terbaik untuk fungsi Google Voice Search, Android Gaming, Built-in Google Cast dan pelbagai lagi.

Turut diperkenalkan adalah peti sejuk bersaiz mega iaitu Mega Freezer Pelican yang akan berada di pasaran pada Disember ini dan penghawa dingin J-Tech Inverter. - UTUSAN ONLINE