Terkenal dengan produk makanan berasaskan jeruk buah, selaku pemenang hadiah utama syarikat yang berpusat di Pulau Pinang itu membawa pulang trofi, sijil dan wang tunai berjumlah RM50,000.

Anugerah yang dianjurkan bersempena ulang tahun ke-48 Agrobank itu disampaikan oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Sebanyak lapan kategori yang dipertandingkan dengan jumlah wang tunai keseluruhan berjumlah RM140,000.

Antara pemenang lain adalah Mai Kuasa Infinity (M) Sdn. Bhd. bagi Anugerah Agropreneur Muda, Wanz Along General Trading (Agropreneur Mikro), Aina Aini Enterprise (Agropreneur Orang Kurang Upaya), Dayang Salhah Food Industries Sdn. Bhd. (Agropreneur Wanita), Perniagaan Warisan Ketereh (Agropreneur Inovasi), Lim Ah Tiang (Anugerah Pelanggan Setia Individu) dan Evergreen Livestock Sdn. Bhd. (Anugerah Pelanggan Setia Syarikat).

Kriteria pemilihan pemenang ditentukan berdasarkan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) dengan input daripada Universiti Pertanian Malaysia (UPM) bagi meningkatkan proses penilaian.

Yang turut hadir Pengerusi Agrobank, Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Masaat Awadz.

Video oleh AHMAD SHAZWAN MD. YUSOF

Sementara itu, Mohamad Zabidi dalam ucapannya berkata, anugerah tersebut merupakan pengiktirafan kepada agropreneur yang mampu menjadi ikon dalam industri berkenaan serta menggalakkan lebih ramai usahawan membina bisnes agro.

"Anugerah Agropreneur Agrobank diperkenalkan bagi menyokong usaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani untuk mengangkat lebih banyak kisah kejayaan usahawan dalam bidang agro.

"Ramai usahawan dalam industri ini menunjukkan bahawa prospek perniagaan pertanian dan industri asas tani menjanjikan permintaan berterusan bagi pasaran tempatan mahupun antarabangsa," katanya. - UTUSAN ONLINE