Pengasas yang juga Ketua Pegawai Eksekutifnya, Zaidi Yusoff berkata, syarikat telah menyusun atur pelbagai aktivi­ti bagi memastikan matlamat tersebut dicapai.

“Sebagai langkah pertama, hari ini kami melancarkan ZY Phyto Holding Sdn. Bhd., menjadi tonggak kepada 12 anak syarikat yang bernaung di bawahnya.

“Kesemua anak syarikat tersebut meliputi pelbagai disiplin perniagaan daripada pengeluaran produk kesihatan, kosmetik, akademi latihan hingga kepada syarikat percetakan dan pengeluaran suplemen untuk kucing,” katanya dalam sidang akhbar sempena Sambutan Ulang­ Tahun Ke-10 ZY Phyto, di sini malam tadi.

Hadir sama isteri beliau yang juga Pengarah Urusan ZY Phyto, Sharifah Ameelia Akma Mohd. Ramly, serta usahawan produk terkenal lain termasuk Datin Maziah Mohamed dari Almas Beauty & Health (Almas) dan Pengasas Vida Beauty, Datuk Seri Dr. Hasmiza Othman.

Zaidi berkata, syarikat juga menyasarkan unjuran jualan sebanyak RM30 juta menjelang hujung tahun ini.

Beliau yakin sasaran itu mampu dicapai berdasarkan rekod sebanyak RM20 juta yang dicatatkan pada tahun lepas, selain disokong dua kilang baharu yang bakal beroperasi menjadikan empat kesemuanya.

“Kilang baharu di Kelantan dan Kedah yang setiap satu berharga RM300,000 dilengkapi dengan mesin berteknologi tinggi. Ia dijangka mampu memenuhi permintaan yang meningkat dalam kalangan rakan usahawan lama dan baharu kami yang bertambah setiap hari.

“Sejak penubuhan ZY Phyto kira-kira 10 tahun lalu, pihak syarikat berjaya mengeluarkan 200 jenama dan dijangkakan dalam tempoh lima tahun ini akan meningkat kepada 500 jenama iaitu melibatkan 500 usahawan kerana satu jenama adalah satu usahawan,” katanya.

Sementara itu, dalam majlis tersebut turut berlangsung pelancaran buku biografi pasangan suami isteri tersebut, Odyssey Dari Lembah Ke Puncak hasil tulisan bekas Pengarang Kanan Majalah Utusan Karya, anak syarikat Kumpulan Utusan, Normala Hamzah.

Buku setebal 159 muka surat itu berkisar mengenai kisah hidup pasangan itu dari zaman kanak-kanak hingga kepada cerita jatuh bangun mereka dalam perniagaan.

“Orang kenal ZT Phyto selepas kami berjaya, mempunyai kilang, rumah besar, pekerja yang ramai dan kerap muncul di media.

“Namun, orang tidak kenal kami 10 tahun lalu. Tentang kesukaran kami, jatuh bangun dalam perniagaan, memulakan kilang di rumah sewa, bagaimana `ditikam’ rakan perniagaan dan sebagainya.
“Melalui buku ini kami ceritakan segala-galanya dengan harapan menjadi inspirasi kepada orang lain terutama golongan muda bahawa tiada yang mustahil untuk berjaya jika sanggup berusaha keras,” kata Sharifah Ameelia.

Dalam pada itu Normala berkata, beliau mengambil masa setahun untuk membuat perancang­an sebelum menyiapkan buku tersebut enam bulan kemudian. 
 “Sebagai penulis saya turut bersemangat dengan cerita pasangan ini yang tidak lokek membantu usahawan lain untuk turut bergelar jutawan se­perti mereka,” katanya yang juga penulis buku Ceritaku -Rahsia Hidup Ibu Halimah.