Pengerusinya, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, pengelua­ran ikan sardin dan tuna dalam tin merupakan kerjasama antara Felcra dengan syarikat dari Indonesia dan Filipina.

Katanya, sasaran jualan untuk produk tersebut adalah sebanyak RM25 juta setahun bagi pasaran antarabangsa dan tempatan.

“Kami telah mendapat sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan beberapa pasaran luar yang berpotensi untuk memasarkan produk Yuya ini adalah Jepun, Korea, Asia Barat serta China.

“Di peringkat domestik pula, kami menyasarkan pasaran di beberapa rangkaian peruncitan termasuk pasar raya dan kedai-kedai runcit terkemuka di seluruh Malaysia,” katanya dalam sidang akhbar pelancaran produk Yuya di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Yang turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Felcra, Zulkarnain Md. Eusope.

Sementara itu Zulkarnain ber­kata, pihaknya menganggarkan makanan dalam tin itu akan dieks­port ke luar negara sekurang-kurangnya tiga kontena sebulan bagi tempoh suku pertama 2017.

Katanya, Felcra juga telah melatih beberapa usahawan dari Kedah, Perak, Pahang, Kelantan, Johor dan Sarawak bagi mengeluarkan produk kesihatan menggunakan madu kelulut pada tahun hadapan.