Pengarahnya, Datuk Sapawi Ahmad berkata, kursus itu adalah satu usaha untuk membangunkan usahawan secara bersepadu dengan kerjasama agensi-agensi lain di seluruh negara.

"Usaha ini sejajar dengan Program Transformasi Kumpulan Yayasan Sabah yang memberi tumpuan kepada dua matlamat utama iaitu melahirkan masyarakat luar bandar berdaya saing dan memperluas pengedaran mikro kredit kepada golongan miskin bagi membantu mereka bekerja sendiri.

"Kita juga berharap masyarakat di luar bandar mengambil peluang yang disediakan agar mereka mampu meningkatkan pendapatan keluarga masing-masing," katanya ketika berucap di majlis perasmian program e-Keusahawanan yang dirasmikan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman di Dewan Serbaguna Libaran di sini, hari ini.

Kursus Mega e-Keusahawanan itu dianjurkan KYS dengan kerjasama Majlis Perbandaran Sandakan, Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan Amanah Ikhtiar Malaysia bertujuan membantu meningkatkan penglibatan masyarakat dalam pemasaran digital berasaskan aktiviti ekonomi serta memberi pendedahan kepada generasi muda dan peniaga kaedah memasarkan produk melalui teknologi terkini. - UTUSAN ONLINE