Pekema melalui Yayasan persatuan itu dianggarkan telah menyumbang sehingga RM27 juta untuk membantu golongan memerlukan, sama ada daripada aspek keperluan harian, pendidikan sehinggalah kepada perniagaan.

Presidennya, Datuk Zainuddin Abd. Rahman berkata, meskipun ditubuhkan sekitar 2006, tetapi Yayasan Pekema bergerak aktif ketika persatuan itu mula diterajui beliau iaitu pada 2010.

Katanya, setiap tahun Yayasan Pekema akan memberi sumbangan sebanyak 50 peratus daripada hasil diterima daripada ahli-ahli Pekema.

Jelas Zainuddin, jumlah yang diterima Yayasan setiap tahun dianggarkan mencecah RM7 juta dan lingkungan RM3 juta ke RM4 juta akan disumbangkan untuk program CSR kepada rakyat khususnya yang memerlukan.

“Jika dulu, sumbangan banyak diberikan kepada persatuan, rumah kebajikan, tetapi kebelakangan ini Yayasan Pekema memberi tumpuan kepada individu-individu yang menghidap penyakit kronik serta memerlukan banyak bantuan.

“Yayasan juga menghulurkan bantuan kepada mangsa-mangsa bencana alam seperti banjir.

Sewaktu kerosakan teruk akibat banjir di Kelantan beberapa tahun lalu, Pekema menyumbangkan lebih daripada RM1 juta.

“Selain itu, bantuan pendidikan turut diberikan perhatian oleh Yayasan Pekema. Bantuan ini meliputi persekolahan, kelas tambahan untuk murid serta pelajar sekolah.

Tidak terkecuali, kita juga ada menaja untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Bagaimanapun, Zainuddin memberitahu, jumlah bantuan yang disalurkan oleh Pekema adalah bergantung kepada hasil diterima Yayasan daripada ahli-ahli persatuan dan juga situasi ekonomi semasa.

Katanya, Yayasan mendapat dana hasil daripada ahli-ahli yang membawa masuk kenderaan import dengan setiap daripadanya diperlukan membayar RM300.

“Kalau masa ekonomi bagus, memang banyak kereta yang diimport sekali gus meningkatkan jumlah dana Yayasan Pekema.

Tetapi sejak kebelakangan ini 2014, 2015, jumlah import berkurang kerana keadaan ekonomi yang tidak menentu,” jelas beliau.

Menurut Zainuddin, Yayasan Pekema banyak menerima surat permohonan daripada pelbagai golongan yang mengharapkan bantuan.

Katanya, setiap bulan exco-exco akan mengadakan mesyuarat untuk menentukan bantuan yang perlu disalurkan kepada individu atau pihak yang benar-benar memerlukan.

“Kita ada pengurus bahagian Yayasan yang akan melawat sendiri golongan memerlukan bantuan ini.

Sekiranya didapati individu tersebut benar-benar memerlukan bantuan, Yayasan akan menolong mengikut keperluan indivisu terbabit.

“Skop bantuan kita luas, kadangkala setiap bulan beratus ribu kita luluskan untuk pemberian sumbangan bantuan,” ujar beliau.

Berikutan pengurusan yang baik dan sentiasa komited dalam menjayakan usaha membantu golongan memerlukan, Yayasan Pekema juga bakal mempunyai bangunan sendiri yang terletak di Cyberjaya.

Zainuddin memberitahu, separuh daripada dana diperolehi Yayasan digunakan untuk membantu rakyat menerusi program CSR, manakala separuh lagi adalah simpanan yang membolehkan Yayasan membeli bangunan sendiri bernilai RM24 juta.