Memanfaatkan perkembangan tersebut, Hamzah Hashim, 37, mengambil keputusan untuk melibatkan diri sepenuh masa mengkomersialkan penanaman sawi menggunakan kaedah fertigasi bermeja.

SAYURAN sawi yang ditanam
SAYURAN sawi yang ditanam di atas meja telah membesar dan sedia untuk dipetik. - UTUSAN ONLINE

Jelasnya, kaedah penanaman tersebut mempunyai banyak kelebihan kepada petani dari segi pengurusan dan juga hasil yang diperoleh.

“Kalau sebelum ini majoriti petani dan saya sendiri tanam sayur di atas tanah berbatas biasa, tetapi kaedah tersebut banyak kekurangan dan berpotensi tinggi untuk diserang haiwan perosak seperti siput dan lain-lain.

“Tapi sejak saya beralih kepada penanaman fertigasi bermeja ini memang banyak kelebihan. Masalah serangga dapat diselesaikan dan hasil lebih lumayan kerana kami dapat tanam sawi berkali-kali dalam masa yang singkat,” katanya ketika ditemui di tapak penanamannya di Ampangan, Negeri Sembilan dekat sini hari ini.

SAYURAN sawi
SAYURAN sawi yang berusia seminggu ditanam dan dijaga rapi sebelum dipetik menjelang hari ke-25. - UTUSAN ONLINE

Hamzah mula menggiatkan penanaman tersebut sejak tahun 2011 bersama enam pekerja di tapak penanaman awal seluas 0.2 hektar sebelum mendapat sokongan dana daripada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani untuk membuka tapak baharu seluas 0.8 hektar.

Sehingga kini, Hamzah menerima permintaan hampir 200 kilogram bekalan sawi setiap hari daripada pelanggan di sekitar Seremban, Kuala Lumpur dan Johor.

Menggunakan kaedah tersebut juga, anak kelahiran Pulau Pinang itu memberitahu, sawi yang ditanam akan dipetik lebih kerap berbanding cara penanaman konvensional iaitu penanaman di atas tanah.

“Kalau tanam di atas tanah seperti biasa, tanah tersebut perlu diurai dengan baik sebelum kita tanam sawi baharu. Tapi kalau mengikut kaedah fertgasi, kita boleh terus tanam anak sawi baharu menggunakan tanah yang sama tanpa perlu diuraikan seperti tanah biasa.

“Tanah yang kami guna pula iaitu tanah sabut kelapa (Cocopeat) yang jauh lebih mudah dan dapat menyuburkan tanaman kerana mempunyai tahap kelembapan lebih tinggi,” ujarnya.

Dalam pada itu, penggunaan Rumah Pelindung Hujan (RPH) menjadi antara perkara penting bagi memastikan kondisi sayuran tidak mengalami kerosakan meskipun hujan lebat.

“RPH penting sebagai pelindung sawi ketika hujan lebat dan kita tidak perlu bersusah-payah membasuh sawi seperti sebelum ini akibat terkena percikan tanah selepas hujan. Menjelang hari ke-25, kita terus boleh petik sayuran dan sedia untuk dipasarkan,” tambahnya.

PELEKAT serangga
PELEKAT serangga digunakan di sekitar tapak tanaman bagi mengelak sayuran terjejas diganggu haiwan perosak. - UTUSAN ONLINE

Menjelang Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Antarabangsa (MAHA) 2018 yang akan berlangsung dari 22 November hingga 2 Disember, Hamzah akan turut berada di gerai Agro Youth Pavillion, Unit Usahawan Agro Muda di bawah Agensi Lembaga Pertubuhan Peladang Negeri Sembilan, di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia (Maeps), Serdang.

“MAHA 2018 nanti adalah penyertaan saya buat kali kedua dan di sana nanti saya akan bawa bersama meja tanaman fertigasi supaya orang ramai boleh kenal dan belajar kaedah tersebut,” katanya. – UTUSAN ONLINE