Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, dengan cara itu, harga hasil perikanan dapat ditingkatkan, sekali gus memberi pulangan kepada golongan nelayan.

Beliau berkata, perubahan kehendak pasaran dunia yang mementingkan soal keselamatan makanan, kini merupakan sesuatu yang perlu dipenuhi untuk mengeksport ikan ke negara maju.

“Pada masa ini, syarat pengendalian ikan yang memenuhi piawaian EU sesuatu yang penting. Ini termasuklah soal kebersihan dan pengurusan di jeti dan bot-bot nelayan.

“Mungkin harga produk makanan ini akan meningkat tetapi negara pengimport sanggup membayar,” katanya selepas me­rasmikan kilang air batu Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Kuala Perlis dekat sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Datuk Seri Dr. Irmohizam Ibrahim serta Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Ahmad Bakri Ali.

Menurut Ahmad Shabery, beliau akan berbincang dengan LKIM dan beberapa agensi berkaitan dalam masa terdekat supaya pendapatan Nekmat dapat ditingkatkan.

Katanya, ketika ini, persatuan itu hanya memperoleh urus niaga penjualan ikan negara sebanyak RM2 bilion berbanding jumlah keseluruhan RM13 bilion setahun.

“Daripada jumlah itu, Nekmat memperoleh keuntungan RM23 juta atau satu peratus sahaja setahun. Saya pergi Kuala Kedah, PNK jual (ikan) RM100 juta setahun dan untung RM1 juta.

“Begitu juga PNK Kuala Perlis yang memperoleh jualan ikan RM43 juta setahun dan untung hanya RM430,000 atau satu peratus. Jadi saya simpulkan, peringkat nasional iaitu Nekmat dan kawasan (PNK) hanya catat untung satu peratus sahaja,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memuji PNK Kuala Perlis yang membuat pinjaman bank untuk menambah baik kilang air batu milik mereka dan kini mencatat keuntungan RM40,000 sebulan.