Seorang peserta, Mohd. Badrulhisham Mohd. Fajar, 23, berkata, program itu merupakan langkah pertama baginya untuk menceburi bidang keusahawanan dalam bidang perkhidmatan pendawaian elektrik.

"Sebelum ini saya hanya tahu mengenai kemahiran dalam bidang pendawaian elektrik, namun kurang memahami selok-belok dalam dunia keusahawanan. Namun, menerusi program mobilepreneur ini, telah banyak membantu saya untuk membina perniagaan sendiri.

"Hari ini saya dapat memulakan perniagaan secara bergerak dengan menggunakan motosikal yang diberikan oleh kerajaan. Mungkin selepas ini saya boleh bina syarikat sendiri.

"Hasrat saya untuk mempu­nyai perniagaan sendiri mungkin sukar tanpa adanya bantuan daripada kerajaan seperti program ini. Kerajaan benar-benar ambil berat masa depan orang muda seperti saya," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.


Video oleh ABDUL YAZID ALIAS

Sementara itu, Mazura Toyeban, 31, dari Kuala Selangor me­ngucapkan terima kasih kepada KKLW yang membuka peluang kepadanya untuk meluaskan lagi perniagaan spa dan kecantikan yang selama ini hanya beroperasi di rumahnya.

"Kadang-kadang ada pelanggan mahu mendapatkan khidmat spa dan kecantikan, namun mereka sukar untuk datang ke rumah saya. Selepas ini, saya boleh pergi terus ke rumah pelanggan," kata­nya yang turut menawarkan pelbagai khidmat kecantikan kepada pelanggan wanita yang berminat.

Pandangan sama turut dikongsi oleh Izzatun Najihah Latiff, 23, yang menyifatkan program mobilepreneur yang menyediakan bantuan kursus, peralatan serta sebuah motosikal memudahkan lagi operasi perniagaan kek dan pastri yang diusahakannya.

Menurut Izzatun, dia me­njalankan perniagaan di rumah­nya di Batu 11, Hulu Langat dan menerima tem­pahan daripada pelanggan yang ada kalanya mahu penghantaran dibuat segera.

"Dengan kemudahan motosikal yang lengkap dengan peti muatan ini, ia memudahkan lagi tugas saya," jelasnya yang turut mempromosi perniagaannya menerusi media sosial.