Malah, bukan mudah untuk dia memulakan perniagaan yang baharu kerana pernah mengalami kerugian sebanyak RM500,000.

Namun, setelah berusaha gigih, kini dia boleh berbangga apabila perniagaan pakaian dalamnya itu bakal menembusi pasaran Asia Barat pada April ini.

Katanya, kejayaan itu dicapai setelah menjalani kursus Level Up oleh Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) apabila agensi itu memperkenalkan kaedah pemasaran atas talian yang dilihat lebih berkesan dalam mempromosikan perniagaannya.

“Pada awalnya, saya mengetahui mengenai kursus oleh MDEC ini melalui program eUsahawan. Sejak itu, baru saya tahu wujudnya perniagaan atas talian dan setelah mengikuti latihan tersebut, saya belajar banyak kaedah pemasaran yang lebih tepat dan berkesan.

“Sebelum ini, selama tujuh tahun saya menjalankan perniagaan tanpa kaedah pemasaran atas talian dan agak ketinggalan daripada usahawan yang lain,” katanya ketika ditemui Utusan Online di kedainya yang terletak di pasaraya GM Klang, Klang hari ini.

Ngit Yeng yang sebelum ini tidak pernah mengetahui kewujudan kaedah pemasaran atas talian itu berkata, perniagaannya kini telah meningkat hampir 45 peratus dan menjana keuntungan bersih lebih RM20,000 berbanding RM10,000 sebulan.

“Melalui kursus yang disediakan MDEC, mereka mengajar saya bagaimana untuk mempromosikan produk melalui media sosial seperti Facebook, Instagram dan aplikasi Whatsapp serta menghasilkan laman web sendiri.

“Sebelum saya menyertai kursus MDEC, saya telah banyak ketinggalan kerana tidak tahu menggunakan peluang yang ada. MDEC sehingga ke hari ini sentiasa menghubungi saya untuk mengetahui perkembangan perniagaan dan memastikan segalanya berjalan dengan lancar serta mempunyai peningkatan,” katanya.

Dalam pada itu, Ngit Yeng turut menggalakkan para usahawan yang baru sahaja memulakan perniagaan untuk mempelajari kaedah pemasaran yang betul dan tidak mudah berputus asa.

“Berdasarkan pengalaman saya, asas itu yang paling penting. Para usahawan perlu mengenal pasti dan betul-betul faham jenis perniagaan yang mereka jalankan dan jangan hanya mengikut orang lain.

“Selain itu, tidak dapat dinafikan, dalam perniagaan memang ada masa kita akan mengalami kerugian. Oleh itu jangan mudah berputus asa dan cuba untuk mencari punca kesalahan tersebut serta jalan penyelesaiannya,” katanya. – UTUSAN ONLINE