FARIDAH A. JABBAR

Yang Dipertua Persatuan Usahawan Wanita Bumiputera (Usahanita), Datuk Faridah A. Jabbar berkata, inisiatif itu adalah selaras de­ngan hasrat kerajaan untuk memperkasa­kan penglibatan wa­ni­ta dalam bidang perniagaan dan keusahawanan.

Menurut beliau, konvensyen berke­naan juga bertujuan mempersiapkan golongan usahawan wanita untuk berdepan dengan perkembangan terkini dalam dunia perniagaan yang semakin pesat dan dinamik.

“Ia merupakan satu per­kembangan yang positif apabila melihat usahawan-usahawan wanita tidak melepaskan peluang untuk memper­ke­nalkan pelbagai produk dan servis sama ada melakukannya secara sambilan atau sepenuh masa,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia pada Konvenita ‘17 di KL Gateway Mall di sini hari ini.

Konvensyen yang bermula hari ini hingga Ahad itu disertai kira-kira 800 ahli Usahanita dari seluruh negara manakala antara aktiviti menarik yang dijalankan adalah forum dan perkongsian maklumat serta demonstrasi solekan, pakaian dan masakan yang dimeriahkan dengan penampilan selebriti tanah air seperti Sharifah Shahora, Linda Hashim dan Beego.


Video oleh NUR ANIS FARHANAH ABD. MALEK

Faridah menambah, konvensyen yang julung-julung kali dianjurkan Usahanita itu turut bertujuan memberi motivasi kepada usahawan-usahawan wanita agar mereka lebih bersedia dan berdaya saing untuk menembusi pasaran global.

“Konvensyen yang dijalankan secara percuma ini tidak terhad kepada usahawan bumiputera sahaja malah kita mengalu-alukan penyertaan semua kaum,” jelasnya.

Beliau memberitahu, Konvenita ‘17 juga membantu golongan wanita yang berminat untuk menjalankan perniagaan dengan membuka ruang mengenai pelbagai bantuan dan kemudahan termasuk pinjaman dana yang disediakan termasuk kerajaan dan agensi swasta.