Dia yang turut bertindak selaku Pengarah Eksekutif Syarikat Mycuisine Qube berkata, idea perniagaan yang lahir daripada suaminya itu diinovasikan dengan cara tersendiri dan mempunyai kelebihan berbanding produk-produk jenama lain dalam pasaran semasa.

SITI Rahayu Abd. Rashid
SITI Rahayu Abd. Rashid ketika memasarkan produk Aydeen di Australia. - UTUSAN ONLINE

“Kami mula perniagaan ini pada 2016 dan awal 2017 kami sudah mula masuk ke Brunei. Tidak lama lepas itu kami dapat tawaran untuk bekalkan produk kami kepada Lembaga Tabung Haji (TH) dan tawaran berikutnya untuk bekalkan produk ke Australia dan Arab Saudi.

“Setelah melalui beberapa kajian dan rundingan Alhamdulillah pada September 2017, Aydeen sekali lagi berjaya dapat tawaran luar negara iaitu dari Jepun. Kami turut menandatangani perjanjian bersama Jepun untuk bekalkan produk kami di sana. Dalam masa yang sama kami juga mengintai beberapa negara lain lagi untuk tujuan yang sama,” katanya ketika ditemui di Bungalow Factory, Kawasan Perindustrian Melaka Halal Hub Serkam, Merlimau, Melaka, semalam.

Kiub Aydeen adalah sejenis produk berasaskan rempah berbentuk kiub yang dihasilkan Syarikat Mycuisine Qube di Kawasan Perindustrian Melaka Halal Hub Serkam, Merlimau, Melaka.

REMPAH yang telah melalui proses pemampatan
REMPAH yang telah melalui proses pemampatan menjadi kiub. - UTUSAN ONLINE

Produk tersebut dicipta khas bagi memudahkan pengguna untuk memasak tanpa perlu bersusah payah menyediakan bahan sampingan lain.

“Yang kami fokuskan dalam produk kami adalah makanan Malaysia dan kerana itu kami sebut Mycuisine.

“Antara yang paling mendapat sambutan ialah rendang, kari ayam dan ikan, Masak lemak cili padi, sambal belacan, asam laksa, tom yam dan lain-lain. Ini adalah citarasa Malaysia untuk semua walau di mana sahaja mereka berada,” ujarnya.

Berbicara tentang kelainan produk Aydeen berbanding jenama lain, ibu kepada tujuh orang anak itu memberitahu, produk tersebut langsung tidak menggunakan bahan pengawet bagi menambah ketahanan produk sebaliknya Aydeen menggunakan bahan rahsia bagi mengekalkan citarasa asli.

“Kami memang tidak guna bahan pengawet. Sehinggakan kami pernah didatangi pelawat daripada syarikat terkemuka lain dan ingin tahu apa rahsia kami bagi mengekalkan tarikh luput produk.

“Kami hanya guna bahan asli iaitu asam gelugur sebagai bahan rahsia untuk menambah ketahanan produk sehingga dua tahun disamping mengekalkan kualiti dan rasa asli rempah tersebut,” katanya.

Tambah Siti Rahayu, dia dan kakitangannya turut mengambil bahagian dalam Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Antarabangsa (MAHA) 2018 yang akan berlangsung dari 22 November hingga 2 Disember nanti.

PROSES pembungkusan akhir
PROSES pembungkusan akhir dilakukan pekerja-pekerja Syarikat Mycuisine Qube. - UTUSAN ONLINE

“MAHA kali ini adalah penyertaan kami untuk kali kedua. Dan pastinya akan ada pelbagai promosi daripada kami kepada pengunjung yang hadir dan mereka berpeluang merasai masakan yang kami sediakan menggunakan kiub-kiub Aydeen,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE