Jojie cemara
Jojie cemara 

Dengan pengalaman lebih 35 tahun dalam pengurusan artis, Jojie amat sinonim dengan Ratu Rock negara, Ella.

Walaupun Jojie tidak beraksi di atas pentas nyanyian namun beliau dipandang sebagai selebriti dan populariti di belakang tabir, ditampilkan sebagai Duta Cemara, produk wangian untuk wanita dan lelaki.

Cemara merupakan produk sulung syarikat Wave Industry Limited.

Pada majlis sidang akhbar dan sekali gus, pengenalan kepada produk dan duta Cemara di salah sebuah hotel terkemuka di ibu negara petang ini, Jojie berkata, kali pertama menghidu Cemara, beliau jatuh cinta dengan wangian itu.

"Saya mencuba selama sebulan wangian Cemara untuk wanita dan saya amat sukakan baunya.

"Cemara untuk wanita membuatkan saya merasa seksi," kata Jojie secara terus terang.

Hadir sama, Setiausaha Kehormat PEMADAM Selangor, Daing Muhammad Riduan dan Ketua Pegawai Eksekutif Wave Industry Limited, Shameen Ashraf.

Jojie berkata, wangian Cemara untuk lelaki pula apabila digunakan oleh suaminya, Syahrizal Ismail, ia memberikan aroma maskulin.

Setiap botol wangian Cemara wanita dan lelaki bersaiz 30ml dijual pada harga RM69.90.

Setiap unit penjualan, RM3 akan disalurkan kepada tabung Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM).

Sementara itu, pada majlis yang sama, Shameen berkata, pihaknya membuat penyelidikan hampir setahun sebelum menghasilkan wangian Cemara.

"Sebelum membuat pemilihan, ada lima minyak wangi yang dihasilkan dan Cemara menjadi pilihan.

"Wangian Cemara berasaskan elemen pokok cemara dan diadun dengan sitrus, hasil bauannya adalah menakjubkan," katanya.

Wangian Cemara mampu bertahan lapan jam selepas semburan. - UTUSAN ONLINE