AIDA SUZIANA IBRAHIM
AIDA SUZIANA IBRAHIM 

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif RA Boutique Sdn. Bhd., Aida Suziana Ibrahim, kejayaan pakaian jenama Cindai dari Butik Cindai yang beroperasi di Jitra, Kedah adalah suatu kejayaan yang tidak pernah terlintas di fikiran.

Apa yang berlaku, kata Aida Suziana, adalah suatu perkara yang tidak diduga tetapi seluruh warga kerja di Butik Cindai menerimanya dengan penuh rasa kesyukuran.

“Apabila direnung kembali, tidak sia-sia pemilik Butik Cindai yang juga merupakan Pengarah Urusan RA Boutique Sdn. Bhd., Datin Aida Suraini Ibrahim mengambil keputusan untuk menukar nama Butik Cindai Mahsuri ini kepada Cindai yang lebih komersial dan mudah diingati oleh pelanggan.

“Walaupun perusahaan ini adalah perusahaan kami adik beradik tetapi peluang yang diberi untuk memperkenalkan jenama Cindai di luar dari Jitra bukan semata-mata rezeki buat kami lima beradik tetapi disertai dengan kegigihan dan usaha gigih untuk memajukan perniagaan yang berkait rapat dalam industri fesyen,” katanya kepada Utusan Online ketika ditemui di Butik Cindai di Jitra, Kedah, baru-baru ini.

Aida Suziana juga berkata, apabila peluang masuk ke pasaran di Metrojaya Midvalley di Kuala Lumpur terbentang di hadapan mata, ia tidak boleh dianggap mudah kerana stok-stok pakaian yang dihasilkan mesti mengikut piawaian yang ditetapkan.

Oleh itu, pada hemat Aida Suziana yang turut bertanggung jawab menjaga kewangan syarikat, kejayaan jenama Cindai diterima masuk ke Metrojaya untuk dijual sebaris dengan jenama pakaian yang lain adalah satu perlumbaan untuk Butik Cindai melakar nama dalam industri fesyen negara.

“Maka itulah pereka fesyen Cindai Azrul Izwan Ibrahim perlu tampil dengan lakaran-lakaran fesyen yang segar dan menepati citarasa pelanggan.

“Itu satu cabaran bagi Izwan dan warga kerja Butik Cindai yang mana kami mempunyai empat orang tukang jahit untuk menyiapkan pakaian untuk pasaran Metrojaya namun cabaran ini akan kami hadapi dengan cara yang terbaik,” ujarnya.

Bagi kemasukan pertama jenama Cindai ke Metrojaya di Midvalley, Kuala Lumpur, operasi pengeluaran pakaian telahpun disediakan dengan 200 pakaian wanita termasuk skirt, blaus dan dress serta pakaian lelaki.

Sementara itu, Aida Suhaiza yang bertindak sebagai Pengurus Pemasaran dan Jualan memberitahu, keberanian Butik Cindai untuk melangkah lebih jauh daripada perniagaan online tercetus ketika menyertai Minggu Fesyen Kedah di Aman Central, Alor Setar pada Julai lalu.

“Peluang yang datang hanya sekali dan apabila fesyen rekaan Butik Cindai berjaya menarik perhatian pereka fesyen ternama sewaktu menyertai Minggu Fesyen Kedah, itu menyuntik semangat dalam kami untuk mencuba menjenamakan Cindai.

“Pakaian yang dihasilkan menggunakan fabrik atau material cotton kerana kita mementingkan keselesaan mereka yang memakai.

“Harga baju-baju jenama Cindai tidak membebankan pelanggan. Kita tidak mahu membebankan pelanggan yang ingin berfesyen dalam berpakaian tetapi terpaksa membayar harga yang terlalu tinggi,” kata Aida Suhaiza.

Bagaimanapun, kata Aida Suhaiza, operasi pengeluaran pakaian jenama Cindai tidak berkompromi dari kualiti jahitan.

Kata Aida Suhaiza, impian mereka di Butik Cindai, biarlah jenama ini yang meniti dari bibir ke bibir pelanggan di Jitra dapat menakluk wilayah kecil di Kedah sebagai pengeluar pakaian dan tudung berkualiti dan mendapat tempat di hati pengguna. - UTUSAN ONLINE