Bagi mereka, ia merupakan platform mencari hiburan dan keseronokan era baharu yang mudah untuk diakses pada bila-bila masa dan di mana sahaja dengan hanya menggunakan telefon pintar.

Biarpun media sosial sering dianggap sebagai ‘pembawa’ gejala negatif, namun ia juga mempunyai sisi positif yang boleh dimanfaatkan oleh pengguna sekiranya digunakan dengan cara yang betul.

Tidak terkecuali tiga gadis genit, Aireen Natasya Azman, 18; Nurnazihah Mohd. Radzi,18; dan Nylea Nur Syara Mohd. Shukri,18, yang mempunyai pandangan tersendiri mengenai perkara tersebut. Mereka sering menggunakan media sosial untuk berkomunikasi dan berkongsi aktiviti harian bersama rakan-rakan lain.

Namun, tatkala rakan-rakan sebaya yang lain menggunakan platform itu sebagai medium untuk keseronokan semata-mata, mereka pula menjadikannya sebagai ‘tapak’ untuk membina nama dan mencari rezeki.

Tidak mahu membuang masa, tamat sahaja zaman persekolahan, ketiga-tiga mereka nekad menyertai sebuah agensi pengurusan bakat, Girls Republique (GR) yang berpangkalan dalam media sosial, Instagram untuk meluaskan bakat yang dimiliki.

Bermula dari situ, mereka bernaung dalam satu kumpulan. Mereka dilatih dan dibentuk untuk menjadi ikon dan usahawan berjaya mengikut minat masing-masing.

Berkongsi cerita, Aireen berkata, agensi berkenaan memainkan peranan untuk mengasah bakatnya dalam bidang perniagaan dan menjadi seorang personaliti media sosial.

Katanya, agensi itu turut membantu menukar hobinya bermain Instagram menjadi kerjaya yang mampu menjana pendapatan pada usia muda.

“Saya seorang yang sangat suka bermain Instagram. Bila saya nampak agensi pengurusan bakat ini mengiklankan pengambilan pada Jun tahun lalu, saya terus membuat keputusan untuk menyertainya.

“Bila diterima masuk, mereka mengenal pasti minat saya untuk menjadi seorang ikon di Instagram. Jadi, mereka bimbing saya untuk mengendalikan media sosial dengan lebih baik bagi menambah bilangan pengikut,” katanya.

Tambahnya, selepas beberapa bulan menyertai agensi tersebut, bilangan pengikutnya kini mencecah puluhan ribu orang sehingga ada yang menjadikannya sebagai ikon fesyen berhijab.

“Apabila saya masuk GR, saya kena masuk kelas latihan seperti kelas solekan, fotografi, pemasaran dan banyak lagi untuk menjadi lebih versatil.

“Selepas itu, saya dapati bilangan pengikut saya bertambah ramai di Instagram. Semakin ramai pula yang bertanya mengenai fesyen yang saya pakai, terutamanya cara saya menggayakan tudung, sehinggalah saya mengeluarkan tudung jenama sendiri dengan bantuan GR,” jelasnya yang telah mempunyai jenama tudung sendiri iaitu Aireenscarfsbygr.

Lebih menggembirakan, tudungnya yang dikeluarkan sebanyak 500 helai buat pertama kali habis terjual dalam masa hanya dua minggu.

Katanya, dia percaya kejayaan itu datang daripada usaha kerasnya dan bantuan daripada GR yang sentiasa membimbing dan memberikan nasihat mengenai dunia perniagaan dan pembawaan diri sebagai seorang personaliti untuk meraih kepercayaan pelanggan.

Sementara itu, personaliti media sosial yang semakin meningkat naik, Nurnazihah, berkata, menjadi seorang ikon atau personaliti pada usia muda bukan sesuatu yang mudah.

“Banyak perkara yang kita perlu belajar dan fahami sebelum kita membuat keputusan untuk menjadi seseorang yang berpengaruh di media sosial. Antaranya, kita mesti ada teknik komunikasi berkesan dengan pengikut.

“Disebabkan itu, saya membuat keputusan untuk menyertai GR bagi meningkatkan keyakinan diri kerana dahulu, saya seorang yang pemalu dan tidak pandai bercakap di khalayak ramai.

“Di sini (GR), saya diberi pendedahan bagaimana untuk menjadi ikon dengan menyertai pelbagai majlis yang dihadiri selebriti, ikon dan usahawan lain untuk kita sama-sama berkongsi ilmu dan pengalaman,” jelas anak kelahiran Gombak, Kuala Lumpur itu.

Tidak ketinggalan, dia juga bakal melebarkan sayap dalam dunia perniagaan dengan mengeluarkan jenama gincu (liptint) sendiri tidak lama lagi.

Bagi Nylea pula, menjadi ikon media sosial bukan semata-mata untuk mengejar populariti dan nama.

Sebaliknya, dia mahu menjadi contoh kepada remaja lain untuk sama-sama membina nama dan kerjaya dari usia muda.

“Saya kini sedang membina kerjaya dalam bidang peragaan dan keusahawanan.

“Bila berjaya kelak, saya mahu menjadi inspirasi kepada pengikut saya di media sosial untuk memberi semangat kepada generasi muda,”katanya.