Ketua Eksekutif SME Corp., Datuk Dr. Hafsah Hashim berkata, kegagalan untuk melakukan persediaan tersebut akan membuatkan sesebuah perniagaan ketinggalan.

Katanya, banyak syarikat yang gulung tikar atau berhadapan dengan kebankrapan kerana gagal melihat kepada konteks masa depan iaitu ekonomi digital.

“Walaupun 88 peratus syarikat di negara ini adalah mikro, tetapi kalau semua syarikat ini dapat menerokai pendigitalan dan dapat menjana pendapatan yang tinggi, maka ia tidak menjadi masalah.

“Kedua, usahawan harus bersaing di peringkat global terma­suklah mengikut persijilan berdasarkan standard antarabangsa, mempunyai pembungkusan yang menarik dan sebagainya. Mereka harus melihat kepada pasaran eksport dan bukan dalam negara sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panel dalam Dialog Kesiapsiagaan PKS Bumiputera ke Arah Megatrend dan Revolusi Industri 4.0 anjuran SME Corp. Malaysia dengan kerjasama Majlis Perundingan Melayu (MPM) di sini hari ini.

Dialog tersebut turut menampilkan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ahmad Maslan serta Setiausaha Agung MPM, Datuk Dr. Hasan Mad sebagai ahli panel manakala Pengarah Urusan Kumpulan Utusan, Datuk Mohd. Noordin Abbas selaku moderator.

Hafsah berkata, komponen yang harus diberi perhatian juga adalah berkaitan kehidupan iaitu impak kepada masyarakat.

“Tatkala kita berbincang mengenai revolusi industri 4.0, negara Jepun kini sudah ber­cakap mengenai society 5.0 (masyarakat 5.0) iaitu impak kepada masyarakat yang berhadapan dengan masyarakat menua.

“Kita memerlukan robot dan perkhidmatan yang automatik. Jadi siapakah yang akan menggerakkan semua ini? Bukan syarikat besar dan multinasional tetapi PKS seperti perkhidmatan penghantaran makan, Uber dan Grabcar,” ujarnya.