Pengasas Nottingheels, Amy Chiew
Pengasas Nottingheels, Amy Chiew

Memulakan operasi sejak Februari tahun ini, Amy yang pernah meraih Anugerah Designer Of The Year Jimmy Choo 2017 berkata, kasut bunion jenama Nottingheels boleh didapati di gedung kasut miliknya.

“Kasut Bunion yang dikeluarkan adalah sejenis kasut yang telah diperakui sesuai dan amat selesa untuk pengguna. Kasut ini menjaga tulang kaki, khususnya di bahagian ibu jari kaki yang mana tulang di situ sering kali merasa sakit sekiranya menggunakan kasut yang salah,” katanya.

Sebagai wanita yang menceburi dunia perniagaan, Amy berkata, beliau memerlukan suntikan semangat untuk bangun dalam industri fesyen kasut.

Pada tahun lepas, namanya diumumkan sebagai penerima Designer Of The Year Jimmy Choo 2017 Award.

“Sememangnya saya tidak menyangka akan menerima anugerah berprestij itu pada tahun lepas. Siapa yang tidak teruja apabila Datuk Jimmy Choo, ikon dalam industri fesyen rekaan kasut mengadakan anugerah itu dan saya orang yang amat bertuah untuk menjadi penerimanya,” katanya.

Amy anak kampung memberitahu wartawan Utusan Online, sejujurnya beliau menyimpan impian yang besar untuk memajukan industri fesyen kasut tempatan ke peringkat antarabangsa.

Justeru jenama Nottingheels yang membuka gedung di Dataran Pahlawan menyediakan kasut yang sangat selesa untuk pemakai yang mementingkan kesihatan dan keselesaan kaki.

Sementara itu, Pengurus Nottingheels, Angel Liew pula memberitahu, atas dasar keprihatinan, Nottingheels menawarkan kasut yang selesa dan cantik.

“Kasut terbaik Nottingheels adalah Bunion dan sasaran pelanggan bukan sahaja warga Bandaraya Melaka tetapi juga pelancong yang datang ke sini.

“Kita tahu bahawa golongan wanita mementingkan gaya dari hujung rambut sehingga ke hujung kaki dan dengan memakai kasut jenama Nottingheels ini, anda boleh memakainya untuk ke pejabat, untuk majlis makan malam atau pun untuk santai kerana di sini, kita juga ada menjual sandals,” ujarnya.

Menurut Angel, kasut yang dijual di Nottingheels adalah kasut yang sedia untuk dipakai tetapi dilahirkan dalam edisi terhad. Ini bermakna, rekaan yang dihasilkan oleh tukang kasut hanya untuk dua pasang sahaja untuk setiap saiz.

“Kasut yang dijual di Nottingheels tidak menggunakan material pelapik yang haram digunakan oleh pelanggan yang beragama Islam. Jangan bimbang kerana pelapik atau lining bukan dari kulit khinzir atau anjing,” katanya. - UTUSAN ONLINE