Menteri berkenaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kumpulan berkenaan mestilah berkemampuan untuk menggerak­kan perniagaan mereka lebih jauh menjadi satu entiti perniagaan atau syarikat besar yang berdaya maju pada masa depan.

“Justeru, para peserta perlu bijak merangka strategi perniagaan masing-masing bagi memasarkan perkhidmatan mereka selain menggunakan kaedah pemasaran konvensional.

“Usahawan Mobilepreneur juga perlu mengaplikasikan langkah bijak, berfikiran kreatif dan inovatif dalam menggunakan medium sosial seperti Facebook, Instagram dan Twitter bagi memasarkan produk atau perkhidmatan mereka,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Mobilepreneur Peringkat Negeri Melaka di Dewan Japerun Sungai Udang, di sini semalam.

Hadir sama Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron; Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Keusahawanan Desa) KKLW, Datin Seri Elena Chiang Abdullah, Pengerusi GiatMara, Datuk Azian Osman dan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Pemba­ngunan Usahawan negeri, Datuk Hasan Rahman.

Jelas Ismail Sabri, kumpulan usahawan kecil ini juga perlu berani bercampur dan menimba ilmu daripada usahawan yang telah berjaya dalam bidang perniagaan.

“Pengalaman, bimbingan serta tunjuk ajar daripada kalangan usahawan yang telah berjaya ini boleh dijadikan sumber rujukan kepada peserta Mobilepreneur,” ujarnya.

Beliau berkata, golongan belia luar bandar juga tidak seharusnya berfikir untuk meninggalkan kampung halaman masing-masing bagi mengejar kerjaya di bandar atau bergantung dengan kerja makan gaji dalam keadaan ekonomi glo­bal yang tidak menentu hari ini.

Ujarnya, kerajaan kini telah menyediakan banyak peluang bagi membimbing mereka yang ingin menceburi bidang perniagaan dan keusahawanan.

“Justeru, dengan adanya program Mobilepreneur ini, peluang golongan belia luar bandar lebih terbuka luas untuk memulakan perniagaan,” tambahnya.

Ismail Sabri turut mengingatkan peserta terpilih agar dapat menggunakan kemudahan yang diberikan oleh kerajaan dengan sebaik mungkin demi meningkatkan taraf hidup.

“Saya juga harap semua peserta tidak menyalahgunakan kemudahan yang telah diberikan sebaliknya menggunakannya dengan sebaik mungkin,” katanya.