Timbalan Menteri Perdaga­ngan Antarabangsa dan Industri Datuk Ahmad Maslan berkata, buat permulaan, MVV akan menawarkan peluang kepada para usahawan PKS yang terlibat dalam sektor pembinaan, pembekal bahan pembinaan dan per­khidmatan sokongan.

Beliau berkata, terdapat sejumlah 24,542 PKS di negeri ini dan daripada jumlah itu, kira-kira 80 peratus terlibat dalam sektor perkhidmatan, pembuatan (6 peratus) dan pembinaan (3.9 peratus).

“Saya yang terlibat sebagai Ahli Jawatankuasa Pemandu MVV te­lah diminta memberi pandangan dalam mesyuarat baru-baru ini.

“Jadi saya telah minta PKS terutamanya di negeri ini terlibat dan mengambil bahagian dalam pembangunan MVV seluas 153,000 hektar merangkumi daerah Seremban dan Port Dickson yang dijangka mewujudkan 1.38 juta peluang pekerjaan,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis perasmian Minggu PKS peringkat negeri di sini hari ini.

Majlis perasmian itu telah di­sempurnakan oleh Pengerusi Ja­­watankuasa Bertindak Kemu­dahan Awam, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan ne­geri, Datuk Abu Ubaidah Redza.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga negeri, Datuk Norhayati Omar dan Ketua Pegawai Eksekutif SME Corporation Malaysia (SME Corp), Datuk Hafsah Hashim.

Minggu PKS peringkat negeri ini disertai oleh 40 pempamer yang berlangsung mulai hari ini hingga Ahad ini daripada di Mydin Mall, Seremban 2, dekat sini.

Fokus penganjuran kali ini menjurus kepada meraikan usahawan tiga bintang dan ke atas di bawah penarafan SME Competitiveness Rating for Enhancement (SCORE).

Pelbagai aktiviti menarik menanti orang ramai sepanjang program itu antaranya pameran dan jualan, seminar usahawan, business matching, persembahan artis, meet & greet bersama Didi & Friends, kempen derma darah dan organ serta bicara agama.