Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Dr. Irmohizam Ibrahim berkata, menerusi pembentangan Bajet 2017 lalu, kerajaan memperuntukkan RM1.52 bilion bagi mengukuhkan ekonomi Bumiputera.

Antaranya menurut beliau, RM500 juta yang diperuntukkan kepada Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) bagi membantu perusahaan tempatan mengembangkan perniagaan mereka atau memulakan perniagaan baharu.

“Sementara itu, RM100 juta dana eksport diperuntukkan untuk syarikat yang memasuki pasaran global.

“Selain itu peruntukan RM300 juta untuk Tabung Ekonomi Kumpulan Usahawan Niaga (TEKUN). Kesemua pinjaman ini perlu direbut oleh usahawan agar perniagaan mereka berkembang seterusnya meningkatkan ekonomi negara,” katanya ketika berucap dalam seminar Cashless Vending Machine di sini hari ini.

Irmohizam berkata, melalui kemudahan pinjaman yang disediakan, usahawan mampu meningkatkan daya saing selain membudayakan kreativiti dan inovasi di dalam model perniagaan mereka.

“Kita mahu usahawan di negara ini terus berkembang sehingga ke peringkat global,” ujarnya.