Muhammad Farid Saad

Pengerusi jawatankuasa itu, Datuk Mohamad Farid Saad berkata, pihaknya sebelum ini sudah beberapa kali mengadakan lawatan ke China bagi meneroka kerjasama dengan pihak berkaitan di negara berkenaan.

Menurut beliau, usaha itu ketika ini berada di peringkat akhir dan pihaknya sudah mengenal pasti beberapa rakan kongsi yang boleh membantu mempermudah usaha memasarkan produk itu termasuk dengan sokongan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).

Jelas beliau, selain faktor pasaran yang luas, China juga menjadi destinasi pelaburan kerana permintaan yang tinggi terhadap produk IKS dihasilkan di negeri ini antaranya di wilayah Beijing dan Shanghai.

“Sebagai contoh produk berasaskan kopi dan makanan segera selain produk berasaskan tekstil yang mendapat permintaan tinggi.

“Jadi kita berasakan ini adalah peluang untuk usahawan IKS tempatan meneroka pasaran China yang sangat luas sekali gus melonjakkan perniagaan mereka,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurut Muhamad Farid yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Betong, ketika ini usaha itu berdepan sedikit kesukaran dari sudut pelepasan imigresen dan kastam di negara berkenaan yang agak ketat.

Sehubungan itu, kata beliau, pihaknya sedang berusaha mendapatkan kerjasama daripada syarikat yang turut memasarkan produk makanan luar di negara berkenaan selain agensi berkaitan di negara ini.

Dalam perkembangan berkait­an, beliau melahirkan rasa gembira selepas produk IKS negeri ini turut diberi tempat untuk dipamerkan dalam pameran Agro Bazar Malaysia-Singapura yang akan berlangsung di Singapura hujung minggu ini.

“Sempena pameran itu juga, kita akan melancarkan Seri Pinang Fest iaitu syarikat yang bermatlamat menjadi platform kepada seluruh usahawan IKS bumiputera di negara ini untuk memasarkan produk mereka ke pasaran antarabangsa,” katanya.