Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bilangan usahawan desa yang menggunakan kemudahan e-Dagang pada ketika ini sangat kecil dibandingkan dengan usahawan di kawasan bandar yang menggunakan kaedah tersebut secara meluas.

Katanya, e-Dagang atau perniagaan secara dalam talian penting untuk dipelajari kerana kaedahnya tidak memerlukan modal yang besar, kurang menggunakan tenaga kerja selain tidak perlu menyewa kedai untuk mempamerkan produk yang mahu dijual.

Menurutnya, latihan kepada usahawan terlibat akan dijalankan di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) dan Pejabat Majlis Amanah Rakyat (Mara) yang terletak di setiap daerah serta nege­ri seluruh negara.

“Kita memang menggalakkan usahawan di luar bandar me­ngambil kesempatan dengan terlibat dalam e-Dagang kerana ia tidak memerlukan modal yang besar, hanya menggunakan te­lefon bimbit sahaja satu-satu transaksi perniagaan boleh dijalankan. Semua orang memiliki telefon bimbit.

“Pegawai kementerian akan diarah turun padang memberi latihan kepada usahawan desa ini, latihan akan memberi pendedahan tentang aspek e-Dagang kerana perniagaan seperti ini agak berbeza dan jika tidak berhati-hati mengundang perkara-perkara seperti penipuan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Konvokesyen Institut German-Malaysian (GMI) Ke-22, di sini hari ini.

Yang turut hadir Duta Besar Jerman ke Malaysia, Holger Wilfried Michael.

Ismail Sabri menambah, beliau juga mengadakan perbincangan bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi memperluaskan capaian jalur lebar di kawasan luar bandar menerusi jalinan kerjasama Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS).

Dalam perkembangan ber­asi­ngan, beliau menyifatkan pihak yang menerima dana daripada pe­nyangak mata wang, George Soros sebagai tidak bermoral ke­rana menjalinkan kerjasama bersama orang asing yang mempu­nyai agenda menjatuhkan negara.

Tegasnya, rakyat Malaysia seharusnya mempunyai semangat nasionalis yang menebal dan tidak sepatutnya membabitkan orang luar dalam menentukan hala tuju politik negara.