MOHD. ALI RUSTAM
MOHD. ALI RUSTAM

Pengerusi Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB), Tan Sri Mohd. Ali Rustam berkata, beliau gembira perkembangan terkini menunjukkan anak muda bumiputera berminat menjadi usahawan namun mereka tidak mengetahui jenis perniagaan terbaik untuk dimulakan dan sesuatu yang membimbangkan.

"Mereka gemar terlibat dalam perniagaan bumiputera yang lazim seperti restoran atau kedai runcit tanpa menyedari mereka akan mempunyai ramai pesaing.

"Mereka memikirkan perniagaan seperti itu boleh menjana keuntungan, tapi persoalannya berapa lama anda boleh kekal dalam pasaran tepu seperti itu?," katanya kepada Bernama dalam satu temu bual baru-baru ini.

Mohd. Ali berkata, kerajaan telah banyak membantu usahawan bumiputera terutama dari segi pinjaman dan bimbingan, namun untuk berjaya terpulang kepada usahawan muda masing-masing.

Katanya, langkah pertama ialah mereka perlu memilih perniagaan yang kurang persaingan terutama dalam kalangan bumiputera.

Ketika ditanya jenis perniagaan yang wajar disertai usahawan bumiputera muda, beliau berkata, mereka perlu menumpukan perniagaan pertengahan dan mewah seperti automotif, kedai perkakasan dan logam serta syarikat bekalan.

Katanya, ini kerana pasaran seperti itu masih terbuka dan kurang persaingan di samping memiliki lebih banyak potensi perniagaan.

Beliau berkata, dalam perniagaan automotif, hanya 10 peratus bengkel di negara ini dimiliki bumiputera sedangkan dalam masa yang sama permintaan servis dan baik pulih kenderaan adalah tinggi dalam kalangan penduduk Malaysia.

"Majoriti penduduk Malaysia memiliki kenderaan, motosikal dan kereta adalah paling tinggi, pasarannya adalah sangat besar, tapi di mana usahawan bumiputera muda yang mengambil peluang ini? 10 peratus pemilikan bengkel oleh bumiputera adalah sangat rendah berbanding saiz pasaran," katanya.

Mohd. Ali berkata, kedai automotif khusus seperti tayar dan bateri juga merupakan perniagaan yang baik untuk mereka dan menggesa golongan itu mendalami perniagaan itu secara francais.

Beliau berkata, usahawan bumiputera muda tidak seharusnya terhenti selepas berjaya memulakan perniagaan atau kedai, sebaliknya mereka perlu meneroka perniagaan rantaian bekalan dalam usaha mengukuhkan perniagaan bagi jangka panjang.

"Banyak faedah jika usahawan bumiputera mempunyai rantaian bekalan mereka sendiri, paling utama ialah mewujudkan perlindungan harga bekalan sekali gus memberi manfaat kepada pembeli jika harga produk dapat dijamin," katanya.

Mohd. Ali menekankan bahawa mereka yang bergerak sendirian tanpa bergantung kepada pihak lain tidak akan berjaya, justeru itu, usahawan bumiputera perlu berusaha dan bekerjasama untuk mencapai kejayaan yang lebih besar.

"Saya telah mewujudkan banyak komuniti rangkaian perniagaan menggunakan pelbagai pendekatan, namun kita hanya boleh menyediakan peluang, selebihnya terpulang kepada mereka untuk memanfaatkannya," katanya. - BERNAMA