“Saya tidak pernah merungut malah bersyukur dengan rezeki yang Allah beri. Tetapi berfikir sampai bila harus hidup begini sedangkan saya mahu hidup senang seperti orang lain. Kemudian, saya belajar dan cari ilmu kerana tahu kejayaan tidak datang bergolek tanpa usaha,” katanya.

Menurut usahawan kecantikan ini, dia mahu membuktikan tanpa ijazah, dia mampu berjaya jika berazam tinggi dan berusaha.

“Saya sendiri hanya mempunyai Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Sijil atau ijazah tidak menjanjikan apa-apa jika tiada usaha dan keazaman.

“Kejayaan seseorang tidak boleh diukur dengan segulung ijazah. Bagi saya selagi seseorang punya usaha dan tidak kenal erti putus asa, dia layak untuk berjaya,” katanya.

Dalam pada itu, Norain teruja mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) pada 9 Mei depan. Biarpun golongan muda dilihat kurang meminati politik, namun katanya, tanggungjawab sebagai rakyat dan pengundi harus ditunaikan untuk menentukan masa depan negara.

“Golongan muda seharusnya mempunyai rasa tanggungjawab dalam menentukan hala tuju negara kerana satu undi amat penting dalam menentukan kemenangan parti- parti yang bertanding dalam pilihan raya,” ujarnya.