Pengerusi KKUB, Datuk Jamal Mohd. Amin berkata, sehingga kini, portal berkenaan sudah menawarkan sebanyak 50 produk seperti pakaian, makanan, herba, buku dan peralatan kesihatan.

Beliau yang juga Setiausaha Kehormat Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Cawangan Pu­t­rajaya (DPMMP) berkata, semua produk berkenaan semakin mendapat sambutan dalam kalangan pelanggan terutamanya mereka yang gemar membeli belah secara dalam talian.

“Portal ini semakin mendapat sambutan sehingga mendorong kami membuka bilik pameran di Bandar Baru Bangi di Selangor pada Julai lalu.

“Bilik pameran ini direalisasikan dengan bantuan serta kerjasama DPMMP, Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) dan Institut Keusahawanan Negara (INSKEN),” katanya dalam kenyataan di sini baru-baru ini.

Menurutnya, UnitiMart.Com mengalu-alukan para usahawan bumiputera yang mahu menyertai portal berkenaan bagi menye­marakkan sektor keusahawanan dalam talian di negara ini.

“Kami mencari produk-produk baharu terutamanya bersifat ‘rare' (jarang ditemui) yang diyakini mampu menarik minat para pelanggan untuk membelinya,” ujarnya.

Jamal yang juga Presiden Kolej Uniti, Port Dickson menarik perhatian, pembukaan bilik pameran itu juga adalah sebahagian daripada program pembangunan usahawan dalam talian (PUO) KKUB yang mahu melahirkan lebih 300 usahawan baharu dalam kalangan golongan muda dan siswazah.

Jelasnya, para peserta diberikan latihan mengenai selok belok perniagaan dan pemasaran secara dalam talian selain pengetahuan berkaitan produk yang terdapat dalam portal serta kaedah mempromosikannya kepada orang ramai.

“Selain menjadi platform memasarkan produk, UnitiMart.Com juga menyediakan para penuntut sebagai ejen pemasaran yang turut menerima imbuhan daripada hasil jualan yang dilakukan mereka,” katanya.

Beliau berkata, usaha itu adalah langkah awal untuk menggalakkan para peserta menceburi bidang perniagaan dalam talian yang kini menjadi antara pendekatan terbaik untuk berjaya sebagai usahawan.