Ketua Divisyen UMKEI, Dr. Muhammad Ashlyzan Razik berkata, kerjasama itu bakal memberi pendedahan kepada pelajar me­ngenai pengurusan perniagaan dan kaedah menjana pendapatan secara lebih berkesan.

Katanya, pemilihan syarikat Seri MH Ummi milik 100 peratus bumiputera itu adalah berdasarkan penilaian kriteria yang lengkap sebagaimana dikehendaki oleh pihaknya.

“Seri MH Ummi merupakan sebuah pengilang yang pakar dalam pembuatan ubat-ubatan tradisio­nal, kosmetik serta produk makanan kesihatan berkualiti dan dipercayai sejak lebih 23 tahun di Malaysia.

“Pihaknya turut menjalankan perkhidmatan kontrak pengilang­an Original Equipment Manufacturer (OEM) serta mendapat pengiktirafan Amalan Pengila­ngan Baik (GMP) oleh Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan, Kementerian Kesihatan,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas mengadakan sesi lawatan ke kilang Seri MH Ummi, di sini semalam.

Yang turut hadir, Pengarah Urusan Seri MH Ummi, Ammar Abdullah.

Dalam pada itu, Muhammad Ashlyzan berkata, setakat ini terdapat sebanyak 152 syarikat milik pelajar berdaftar dengan Syarikat Siswa Universiti (SSU) yang dikendalikan UMKEI.

“Syarikat pelajar yang berdaftar merangkumi bidang perkhidmatan, kosmetik dan pengangkutan.

“UMKEI turut menawarkan ban­tuan pinjaman antara RM2,000 hingga RM10,000 sebagai modal permulaan untuk pelajar yang ­ingin berniaga,” ujarnya.

Katanya, kewujudan UMKEI sememangnya adalah untuk menggalakkan pelajar UMK mencari pendapatan sambil belajar.